Zuraida alu-alukan jika Dr Mahathir bekerjasama dengan PN

Zuraida alu-alukan jika Dr Mahathir bekerjasama dengan PN

KUALA LUMPUR,. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bersetuju sekiranya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

“Saya amat mengalu-alukan sekiranya Tun Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad) sertai PN,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan bekas Pengerusi BERSATU itu bekerjasama dengan PN.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program Srikandi Muda Leadership Empowerment, di sini semalam.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, beliau pernah menyuarakan cadangan agar PN menjalinkan kerjasama dengan Ahli Parlimen Langkawi itu sebelum ini.

Media baru-baru ini melaporkan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, gabungan itu sedia menerima mana-mana individu untuk menyertainya termasuk Dr Mahathir, namun perlu mengikut semua ketetapan perlembagaan parti tanpa sebarang syarat.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) sebelum ini mengulangi pendiriannya yang beliau sedia menimbang kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PN hanya sekiranya tiada ‘penyangak’ dalam parti berkenaan.

Mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan di bawah pihak berkuasa tempatan, Zuraida berkata hingga semalam, satu bazar di Pulau Pinang dikompaun manakala tiga lagi bazar diarahkan tutup masing-masing di Kedah, Terengganu dan Selangor, kerana gagal mematuhi SOP.

Katanya, memasuki hari ke-11 Ramadan, peniaga dan penganjur bazar kini semakin berpengalaman dan teratur dalam pengurusan gerai mereka mengikut SOP yang ditetapkan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 1,122 bazar beroperasi. Tiga diarahkan tutup tapi boleh beroperasi semula. Kita tengok (dan beri) taklimat balik mengenai SOP, perbetulkan dan perkemaskan SOP,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )