Zii Jia tak rela dimalukan pemain muda

Zii Jia tak rela dimalukan pemain muda

KUALA LUMPUR,. Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak rela dimalukan pemain muda apabila beraksi dalam kejohanan tertutup yang dijangka diadakan pada pertengahan Ogos depan.

Pemain berusia 22 tahun itu, berkata biarpun kejohanan berkenaan hanya membabitkan pemain kebangsaan namun dia tetap merasakan akan berdepan tekanan yang tinggi.

“Apabila masuk sahaja gelanggang, saya tidak mahu kalah. Lagi pula menentang pemain muda, tekanan pasti ada.

“Orang luar akan cakap Zii Jia pasti menang (disebabkan status sebagai pemain perseorangan lelaki nombor satu negara). Kalau saya menang pula, orang akan cakap memang patut saya menang.

“Jika saya kalah pula, orang akan bertanya siapa yang kalahkan saya. Jadi, tekanan itu memang tinggi dan satu cabaran buat saya.

“Apa pun, saya menyambut baik langkah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) ini kerana sudah lama kami tidak beraksi dalam kejohanan (susulan pandemik COVID-19),” kata Zii Jia ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu, berkata kekalahan di pusingan awal pada Kejohanan Kebangsaan di Ipoh, pada Februari tahun lalu banyak memberi pengajaran buat dirinya.

“Ketika itu, saya tidak pernah lagi rasa tekanan yang tinggi apabila kali pertama memegang status sebagai perseorangan lelaki nombor satu negara.

“Baru saya rasa bagaimana berdepan dengan tekanan yang tinggi. Saya harap saya boleh mengharungi cabaran kali ini,” katanya yang ketika itu tunduk di tangan pemain muda, Datu Mohd Shah Eizlan Sardik di pusingan kedua.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )