Zii Jia layak ke pusingan kedua, Tze Yong terkandas

Zii Jia layak ke pusingan kedua, Tze Yong terkandas

KUALA LUMPUR,. Pemain badminton perseorangan profesional negara Lee Zii Jia melepasi pusingan pertama Masters Malaysia 2023 semalam, selepas menumpaskan pemain China.

Pada perlawanan pusingan pembukaan di Arena Axiata itu, Zii Jia layak ke pusingan kedua selepas menewaskan Lu Guang Zu, 21-12, 21-19 dalam masa 45 minit.

Zii Jia pemain pilihan keempat kejohanan, akan berhadapan pemain Taiwan Lin Chun-Yi, yang mengejutkan juara bertahan Chico Aura Dwi Wardoyo dari Indonesia, 13-21, 21-16, 21-8, semalam.

Pemain nombor 10 dunia itu berkata beliau gembira dapat melepasi cabaran pada set kedua, yang pada suatu ketika ketinggalan tujuh mata 11-18, sebelum pemain Malaysia itu berjaya memperbaiki permainnya bagi memenangi tiket untuk layak ke pusingan kedua.

Ketika ketinggalan 11-18, namun saya bersabar dan cuba menggunakan peluang yang ada (untuk menang set kedua) katanya kepada media selepas perlawanan.

Pemain berusia 25 tahun itu mengakui prestasi cemerlangnya di Piala Sudirman 2023 minggu lepas dengan memenangi kesemua kelima-lima perlawanan di Suzhou, China, telah menaikkan keyakinannya untuk memulakan kempen di sini dengan langkah yang betul.

Sementara itu pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 Ng Tze Yong, gagal layak ke pusingan kedua selepas tewas kepada pemain Jepun Kenta Nishimoto, 21-17, 16-21, 13-21.

“Set pertama saya banyak ambil mata dari Nishimoto kerana beliau banyak buat kesilapan, namun set seterusnya bukan senang nak dapatkan mata terutamanya di set penentuan di mana lawan bermain lebih laju dari saya,” kata Tze Yong.

Selepas tewas kepada pasangan Thailand Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran 20-22, 20-22, pada perlawanan beregu campuran bersama pasangannya Lai Pei Jing, Tan Kian Meng sekali lagi tewas pada pusingan pertama, kali ini dalam beregu lelaki bersama pasangannya Tan Wee Kiong.

Walaupun menang set pertama 23-21, Kian Meng-Wee Kiong tewas dua set berikutnya 14-21, 16-21 kepada pasangan Scotland Alexander Dunn-Adam Hall.

Esok, Zii Jia akan bersama empat lagi wakil negara di pusingan kedua yang terdiri daripada tiga pasangan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta pasangan beregu wanita Pearly Tan-M.Thinaah.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )