Zahidi harap tiada lagi ketidaktentuan politik selepas pembentukan kerajaan baharu

Zahidi harap tiada lagi ketidaktentuan politik selepas pembentukan kerajaan baharu

YAN,. Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin berharap negara tidak lagi berhadapan dengan ketidaktentuan politik seperti sebelum ini susulan pembentukan kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Zahidi yang diumum sebagai Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia oleh Ismail Sabri pada Jumaat berkata, tumpuan di bawah kerajaan baharu kini adalah untuk membantu rakyat yang dibebani masalah ekonomi dan penularan COVID-19.

“Jadi dalam keadaan sekarang ini kita minta ahli politik tidak menimbulkan masalah politik macam benda yang lepas, kita sudah ada kerajaan dan perdana menteri yang baharu dan kabinet baharu.

“Kita harap dalam masa terdekat ini cubalah memberi sokongan, memberi kerjasama supaya kita dapat menyelesaikan masalah rakyat,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pada Jumaat, perdana menteri mengumumkan senarai jemaah menteri dan timbalan menteri baharu yang akan mengangkat sumpah di Istana Negara Isnin ini.

Terdahulu, Zahidi menyampaikan sumbangan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia kepada mangsa yang terjejas banjir ekoran fenomena kepala air selain menyertai program gotong-royong bersama penuntut Universiti Teknologi Mara membersihkan kawasan yang terjejas.

Zahidi berkata sumbangan itu merupakan cerminan semangat “Keluarga Malaysia”, konsep yang digagaskan Perdana Menteri bagi membantu penduduk di daerah ini yang terjejas dengan musibah itu.

“Kita harap banyak lagi sumbangan yang akan sampai di sini untuk membantu, sebab di sini ramai yang terlibat dengan masalah banjir,” katanya.

Bencana banjir ekoran fenomena kepala air pada petang 18 Ogos lepas mengorbankan enam nyawa dan menyebabkan kira-kira 800 rumah terjejas di Daerah Yan dan 200 lagi di kawasan Merbok di Daerah Kuala Muda.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )