YPKPJM beri sumbangan kepada empat rumah anak yatim di Setapak

YPKPJM beri sumbangan kepada empat rumah anak yatim di Setapak

KUALA LUMPUR,. Empat pusat jagaan anak-anak yatim di Setapak di sini, semalam menerima sumbangan barangan runcit daripada Yayasan Pelindung Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia (YPKPJM).

Empat pusat jagaan itu ialah Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Miskin Penyayang Nur Iman, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor (PERMATA HATIKU), Pusat Jagaan Nuri dan Pertubuhan Kebajikan Lindungan Ikhlas Kuala Lumpur.

Pemangku Timbalan Pengerusi YPKPJM Datuk Eko Indra Jaya berkata program yang diadakan setiap tahun itu adalah satu program khas dengan kerjasama Balai Polis Setapak, yang bertindak memberi maklumat tentang rumah-rumah kebajikan di kawasan itu.

“Disebabkan sudah tiba penghujung tahun pihak yayasan memulakan langkah terakhir untuk tahun ini dengan membantu rumah-rumah kebajikan ini, insya-Allah pada tahun hadapan kita akan ke Kelantan bagi menolong mangsa banjir di sana.

“Hari ini (semalam) kami menyerahkan barangan runcit seperti beras, minyak, telur, susu dan sebagainya kepada empat buah pusat jagaan anak-anak yatim di kawasan Setapak,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Kepada Rumah Anak-anak Yatim kawasan Setapak di Balai Polis Setapak.

Eko berkata yayasan itu juga akan mengadakan program amal di Lembah Keramat pada Rabu depan (16 Dis) bagi membantu kira-kira 60 keluarga susah di kawasan berkenaan dan beliau turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai bagi menjayakan program itu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )