
YBR anjur pertandingan video kitar semula di rumah
KUALA LUMPUR,. Bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menganjurkan Pertandingan Video Kitar Semula di rumah sepanjang tempoh kawalan pergerakan bermula 13 Mei hingga 30 Jun.
Menurut YBR, penganjuran program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran serta membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah serta penuntut institusi pengajian tinggi.
“YBR berharap inisiatif dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi bagi menunjukkan kreativiti melalui sesi video kitar semula berdurasi satu minit sekali gus diharap membantu ke arah pemuliharaan alam sekitar” menurut YBR dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemenang tempat pertama pertandingan akan menerima RM500, tempat kedua RM300 dan tempat ketiga RM200 manakala lima pemenang mingguan akan menerima RM50 setiap seorang.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Yayasan Bank Rakyat di talian 03-2612 9600 atau laman sesawang www.yayasanbankrakyat.com.my atau Twitter dan Instagram: @officialybr.
— BERNAMA