Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sumbang RM20,000 kepada Endang Hyder

Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan sumbang RM20,000 kepada Endang Hyder

 

KAMPAR,. Kisah menyentuh hati penggesek biola profesional, Endang Hyder yang nekad menjual biola kesayangannya untuk menampung perbelanjaan perubatan bapanya yang sakit dan baru sahaja kehilangan kedua-dua belah kaki mendapat perhatian Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan.

Yayasan itu hari ini tampil menghulurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada Endang Hyder atau nama sebenarnya Ell Zain Hyder Zainuddin, 34.

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata pihaknya tersentuh membaca laporan akhbar mengenai kesungguhan Endang Hyder yang mahu menjual biola yang menjadi sumber pendapatannya.


“Saya tersentuh melihat keadaan bapanya yang uzur dan melihat kasih sayang seorang anak sanggup bersusah-payah sehingga mahu menjual biola yang menjadi sumber rezeki. Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya kepada pemberita di Taman Bandar Baru di sini.

Endang Hyder yang bermain biola sejak berusia 10 tahun di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Perak, berhasrat menjual biolanya pada harga RM36,000 bagi membeli kerusi roda elektrik yang berharga RM3,000 untuk bapanya Zainuddin Mohd Ottok, 71, selain membeli barang keperluan keluarganya.

Ibu kepada tiga anak itu berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lepas juga telah menjejaskan pendapatannya sebagai pemuzik dan pengajar biola.

“Bapa menghidap penyakit kencing manis, jantung dan tekanan darah rendah. Kesihatannya agak merosot sejak kebelakangan ini dan dia baru kehilangan kaki tiga minggu lepas kerana terpaksa dipotong akibat kencing manis.

“Jadi, saya ambil keputusan untuk menjual sebuah biola klasik bagi menampung kos perubatan bapa, selain untuk perbelanjaan keperluan keluarga termasuk tiga anak berusia lapan hingga tiga tahun,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )