Yayasan Persahabatan Malaysia sumbang 1,000 kampit beras kepada komuniti Indonesia

KUALA LUMPUR,. Yayasan Persahabatan Malaysia menyumbangkan kira-kira 1,000 kampit beras kepada komuniti Indonesia yang tinggal di Wilayah Persekutuan melalui pertubuhan Komuniti Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Cawangan Malaysia.

Ketua Pegawai Operasinya, Afiq Amani Annuar berkata, inisiatif tersebut diambil pihaknya untuk membantu komuniti Indonesia susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 14 April ini.

“PKP telah mengehadkan pergerakan orang ramai yang rata-ratanya pekerja termasuklah warga asing.

“Ini menyebabkan kesukaran untuk menjalani kehidupan kerana tidak dapat bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Dengan bantuan ini, diharap dapat membantu untuk mereka meneruskan kehidupan di sini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan beras di Pusat Pengurusan Krisis (CMC) Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini hari ini.

Hadir sama menyaksikan penyerahan sumbangan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa.

Sementara itu, Annuar berkata, inisiatif yang digerakkan oleh Yayasan Persahabatan Malaysia itu merupakan satu usaha yang baik kerana sememangnya PKP sedikit sebanyak telah menjejaskan kehidupan rakyat di Malaysia.

“Pekerja warga Indonesia juga tidak terkecuali dan mereka juga wajar di bantu kerana mereka telah bersama-sama membangunkan negara kita dalam pelbagai bidang.

“Mereka telah terlibat secara langsung dengan sektor pembinaan dan perkhidmatan.

“Apabila dimaklumkan mengenai keadaan mereka, maka wajar bagi kita untuk menggerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan bantuan kepada mereka,” katanya. –WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )