Wei Chong-Kai Wun pertahan kejuaraan Terbuka Taiwan
KUALA LUMPUR,. Pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempertahankan kejuaran Terbuka Taiwan dua tahun berturut-berturut selepas menewaskan beregu tuan rumah, Lu Ching Yao-Yang Po Han semalam.
Gandingan negara di ranking ke-23 dunia, bagaimanapun tidak diberi laluan mudah apabila diheret beregu ke-15 dunia itu sehingga ke set penentuan sebelum berhasil menoktahkan kemenangan pada aksi yang berlangsung di Arena Tian Mu, Universiti Taiwan.
Set pertama, gandingan negara tampak lebih berhati-hati dalam melakukan serangan, namun tidak bagi pihak lawan yang mengajak pasangan negara bermandi peluh sebelum set pertama berpihak kepada beregu Taiwan 20-22.
Wei Chong-Kai Wun yang juga pilihan kelima kejohanan bingkas bangkit dengan corak permainan lebih agresif dan langkah tersebut berhasil apabila mereka mencatat kemenangan 21-17 di set kedua.
Set penentuan, dominasi pasangan negara menyerlah dengan pihak lawan sering melakukan kesilapan dan selepas mendahului lima mata pada kedudukan 11-6, Wei Chong-Kai Wun mengekalkan momentum untuk disahkan sebagai juara dengan mata akhir 21-14 selepas pertarungan 71 minit.
Keputusan diraih pasangan negara itu sekali gus mengulangi pencapaian mereka pada Terbuka Taiwan 2022 apabila menewaskan beregu tuan rumah yang juga pemenang pingat emas Olimpik 2022 Tokyo, Lee Yang-Wang Chi Lin.
Wei Chong-Kai Wun meraih US$16,590 (RM77,562) susulan kemenangan besar mereka hari ini manakala naib juara Ching Yao-Po Han, memperoleh US$7,980 (RM37,308).
Terdahulu, pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berjaya merangkul gelaran Jelajah Dunia kedua mereka selepas dinobatkan juara bagi aksi beregu campuran kejohanan itu.
— BERNAMA