Waspada penjenayah siber, elak anak jadi mangsa – MCMC

Waspada penjenayah siber, elak anak jadi mangsa – MCMC

KUALA LUMPUR,. Isu eksploitasi kanak-kanak menggunakan internet boleh membarah memandangkan kanak-kanak serta remaja hari ini membesar dengan gajet yang mempunyai akses kepada pelbagai bentuk kandungan tidak sesuai dalam talian.

“Sajian internet” saban hari kepada kanak-kanak terutamanya sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibimbangi memberi implikasi negatif kepada minda serta rohani mereka.

Malahan, situasi ini turut membebankan ibu bapa dengan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan anak mereka daripada menjadi mangsa eksploitasi penjenayah siber.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memainkan peranan untuk membanteras jenayah siber termasuk yang melibatkan kanak-kanak.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Bernama, MCMC memaklumkan, dalam mewujudkan persekitaran digital selamat untuk kanak-kanak dalam talian, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merangka satu Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara untuk mencapai matlamat perlindungan kanak-kanak.

Ianya termasuk merangka inisiatif dan tindakan secara holistik bagi membendung eksploitasi serta jenayah terhadap kanak-kanak, sama ada dalam talian mahupun luar talian. Ia juga memastikan setiap kanak-kanak mendapat perlindungan daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi.

Dalam aspek penguatkuasaan pula, MCMC sentiasa menjalin kerjasama baik dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), KPWKM serta Interpol di peringkat antarabangsa dalam operasi penguatkuasaan secara bersama.

“Ini merangkumi aspek penguatkuasaan dan tindakan sekatan terhadap kandungan atau laman-laman sesawang yang berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak,” jelas MCMC.

Selain itu, MCMC turut menasihati para ibu bapa dan penjaga agar sentiasa mengikuti perkembangan mengenai risiko dan ancaman dalam talian serta perisian kawalan yang boleh digunakan untuk memantau aktiviti penggunaan Internet oleh anak-anak mereka.

Ibu bapa juga harus membuka ruang berkomunikasi dengan anak-anak serta memberi kebebasan kepada anak-anak untuk menceritakan pengalaman atau masalah mereka tanpa dipersalahkan.

Bagi memastikan kanak-kanak di Malaysia terus dilindungi dalam alam persekitaran digital, MCMC turut meneliti pelbagai aspek bagi memperkukuhkan perlindungan kanak-kanak dalam talian.

Ia termasuk pemantapan inisiatif keterlibatan bersama kementerian, agensi kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan parental control tools oleh ibu bapa atau penjaga.

Agensi itu juga memantapkan kawal selia serta kerjasama bersama kementerian, agensi kerajaan dan agensi penguatkuasaan seperti PDRM di samping menyediakan platform dari aspek tindakan intervensi di peringkat teknikal dan dasar serta aktiviti penguatkuasaan.

MCMC juga senantiasa melakukan pemantapan kolaborasi pelbagai fungsi antara agensi dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung keselamatan kanak-kanak di Internet.

“Selain itu, MCMC turut melaksanakan pemantapan platform advokasi dan kesedaran sedia ada seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Malaysian ICT Volunteer (MIV).

“Ini bagi memupuk budaya penggunaan aplikasi dan perkhidmatan media baharu, secara bijaksana dan berhemah serta bekerjasama dengan pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT) dalam menjalankan penyelidikan berkenaan dengan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam talian,” kata MCMC.

Berhubung bilangan laman sesawang pornografi kanak-kanak yang disekat setakat ini, difahamkan antara tahun 2015 sehingga Julai 2021, sejumlah 407 laman berkaitan pedofilia dan pornografi kanak-kanak disekat melalui kerjasama MCMC, PDRM dan Interpol.

Manakala bagi peruntukan undang-undang yang ada di negara ini untuk menangani isu kanak-kanak dikesploitasi menerusi talian adalah Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, MCMC menegaskan, langkah mengawal selia akses terhadap sesuatu kandungan di Internet bukan menjadi tanggungjawab pihak kerajaan semata-mata tetapi juga melibatkan semua pihak termasuk ibu bapa.

Oleh yang demikian, MCMC menggerakkan inisiatif berbentuk kesedaran di seluruh negara seperti KDB dan MIV bagi mendidik serta menggalakkan masyarakat agar mengamalkan kawalan kendiri, menggunakan Internet secara berhemah serta memupuk budaya penggunaan media baharu secara bijaksana.

Inisiatif Parental Control Tools turut digerakkan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan Internet (ISP) bagi mengupayakan pengguna Internet, khususnya golongan ibu bapa, dengan kemudahan untuk memantau dan menyaring kandungan yang diakses oleh keluarga serta anak-anak, bagi mengelakkan penularan kandungan yang tidak diingini.

“Turut dilaksanakan ialah jalinan kerjasama dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menerusi penganjuran seminar perlindungan kanak-kanak dalam talian pada Mac 2021 dalam usaha membina kebingkasan kanak-kanak ketika dalam talian.

“Jika ada pengguna yang ternampak sesuatu kurang elok dalam media sosial, maklumkan kepada pihak berkuasa untuk perhatian mereka. Pengguna juga boleh membantu dengan memberikan tip penting kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan,” tegas MCMC.

Menurut beliau, psikologi kanak-kanak sentiasa menerima apa sahaja yang dilihat dan didengar dengan pancainderanya.
“Tahap kebolehan dan kemampuan kognitif menganalisis dan menapis maklumat yang diterima hasil dari apa yang dilihat dan didengar oleh kanak-kanak masih rendah.

“Oleh itu, apa jua maklumat yang dipaparkan media massa yang ada di internet sudah pasti kanak-kanak tidak boleh membezakan mana yang positif mana yang negatif tanpa bimbingan orang dewasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas situasi kanak-kanak zaman kini yang lebih terancam serta mudah untuk dipergunakan serta dieksploitasi menerusi dalam talian, Norhayati mengakui kewujudan masalah berkenaan dan bersetuju bahawa sebahagian besar kehidupan kanak-kanak terancam dengan gajet dan internet.

Beliau menambah, persekitaran kehidupan kanak-kanak sama ada di rumah, di sekolah atau di mana-mana pun, sentiasa terdedah dengan gajet dan internet terutama semasa Pandemik COVID-19, selain sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pun melalui atas talian.

“Kita boleh lihat sehingga iklan dan apa juga drama serta media massa memaparkan kehidupan seolah-olah tidak sempurna tanpa gajet.

“Oleh yang demikian gambaran di dalam kognitif kanak-kanak hanya tertanam keseronokan hidup dengan gajet. Bagi kanak-kanak, tanpa gajet kehidupan ini tidak seronok dan tidak bermakna,” katanya.

Norhayati berkata, berdasarkan pengalaman beliau dalam mengendalikan ketagihan dalam kanak-kanak semasa sesi kaunseling keluarga, kanak-kanak mempelajari sikap tantrum (pemarah) dan menangis yang melampau sebagai cara mereka mahukan keinginan mereka terhadap gajet dipenuhi oleh ibu bapa.

“Maka hal demikian juga akan membentuk satu sikap yang berpanjangan iaitu pada satu masa kanak-kanak ini menjadi remaja dan orang dewasa yang tiada kemahiran mengawal diri dan sekaligus menjadikan mereka seorang yang panas baran,” katanya.

Norhayati berkata, sama ada kanak-kanak ataupun tidak, kecenderungan akan dipergunakan atau boleh menjadi mangsa eksploitasi adalah bergantung kepada di mana kanak-kanak itu berada dan siapa ibu bapa atau penjaga kanak-kanak tersebut.

“Seperti yang kita tahu kanak-kanak adalah individu yang lemah dan mudah mendapat simpati dari orang dewasa terutama masyarakat di Malaysia. Sering kali kita lihat ramai kanak-kanak sejak sekian lama dijadikan pengemis atau peminta sedekah, Malah ramai ibu-ibu warga asing menggunakan anak-anak sebagai alat menagih simpati pada orang ramai.

“Malah jika kita lihat ada yang diviral melalui internet, kanak-kanak sering menjadi alat untuk ibu bapa mendapatkan simpati dalam mendapatkan bantuan terutama dari segi kewangan. Maka apa yang saya hendak katakan berkemungkinan besar kanak-kanak boleh dieksploitasi atau dipergunakan memang tinggi,” katanya.

Beliau juga tidak menolak akan berlaku pada masa akan datang pelbagai aktiviti perniagaan yang tidak sihat menggunakan kanak-kanak.

“Apa yang membimbangkan mungkin akan berlaku di Malaysia menjual gambar-gambar kanak-kanak kepada pelaku pornografi yang sudah berlaku di luar negara.

“Yang membimbangkan saya juga ada individu perseorangan yang mencari sumber kewangan atas kerja NGO menggunakan kanak-kanak dalam mendapat simpati. Bentuk eksploitasi yang lain adalah kanak-kanak ini yang masih tidak dapat berfikir dalam membezakan dan masih hidup dengan permainan boleh dijadikan duta iklan dalam menjual alat-akat permainan yang tidak sihat ,” katanya.

Pada masa yang sama, Norhayati berkata, undang-undang seperti Akta Kanak-kanak 2001 yang memberi fokus kepada keselamatan dan perlindungan kepada kanak-kanak dari salah laku seksual dan juga aktiviti keganasan kepada kanak-kanak sewajarnya dilihat semula.

“Perlu lihat semula bagaimana akta ini turut mampu melindungi dan menjaga keselamatan kanak-kanak bukan sahaja dari segi keselamatan fizikal tetapi juga dari segi keselamatan emosi dan keselamatan mental terutama yang boleh menyebabkan kesihatan mental kanak-kanak terjejas teruk.

“Peranan dan tanggungjawab ibu bapa kepada perlindungan anak-anak sewajarnya diperhalusi dengan lebih terperinci terutama dalam pengurusan penggunaan gajet dan internet anak-anak mereka di rumah. Penguatkuasaan undang-undang ke atas ibu bapa yang mengabaikan keselamatan anak-anak dari segi emosi dan mental seharusnya diambil kira sebagai pengabaian tanggungjawab ibu bapa kepada anak-anak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )