Warga tempatan barisan hadapan semua sektor

Warga tempatan barisan hadapan semua sektor

KUALA LUMPUR,. Kerajaan tidak membenarkan warga asing bekerja dalam sektor tertentu sebagai pekerja barisan hadapan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata langkah itu bagi memberi peluang dan ruang kepada warga tempatan terutama golongan belia bekerja, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran negara.

Beliau berkata, ia bagaimanapun tidak bermaksud warga asing tidak dibenarkan langsung bekerja dalam sektor tertentu namun itu dilakukan dengan kelonggaran terhad.

“Selepas mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan tidak akan membuka sektor untuk frontliner (barisan hadapan) kepada warga asing.

“Bagaimanapun, jika di stesen minyak kita benarkan pekerja asing menjadi atendan pam tetapi mereka tidak bertugas di kaunter.

“Di kedai makan, kita benarkan pekerja asing menjadi tukang masak tetapi di barisan hadapan masih diperlukan warga tempatan.

“Ini antara langkah memastikan warga tempatan khususnya belia bekerja kerana golongan itu bakal menentukan hala tuju negara,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing di semua sektor pekerjaan termasuk sektor pembinaan dan pembuatan, Saravanan berkata, pihaknya mewajibkan pengiklanan kekosongan jawatan untuk tempoh tidak kurang dari 30 hari di portal JobsMalaysia bagi pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

Sekiranya tiada pengisian dalam kalangan pencari kerja tempatan dalam tempoh terbabit, katanya, majikan dibenarkan membuat permohonan pengambilan pekerja asing dan pegawai dagang.

“Inisiatif ini bermula 1 Julai lalu dalam memastikan jawatan petugas barisan hadapan tidak dibenarkan kepada pekerja bukan warganegara.

“Semua agensi kawal selia dimestikan melaksanakan pelan penggantian bagi membolehkan sektor berintensifkan buruh beralih kepada penggunaan mekanisasi dan automasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan ke atas pekerja asing dan mewujudkan pekerjaan yang memerlukan kemahiran.

“Antaranya seperti menekankan pelaksanaan mekanisme sistem binaan berindustri (IBS) dalam sektor pembinaan, restoran berkonsepkan layan diri dan sebagainya,” katanya.

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )