
Warga asing sebar agama: Kementerian Perpaduan, JPM bekerjasama rapat siasat, ambil tindakan
KUALA LUMPUR : Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama) akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap individu warga asing yang didakwa cuba menyebarkan agama mereka kepada umat Islam.
Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) dalam kenyataan hari ini, turut menggesa orang ramai untuk tidak terpengaruh dengan kegiatan sebegini dan sentiasa melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional akan meningkatkan aktiviti pemantauan oleh Skim Rondaan Sukarela (SRS) di seluruh negara terutamanya di kawasan Lembah Klang.
“Ini adalah bagi memperkukuh keselamatan dan keharmonian komuniti di seluruh negara. Usaha ini juga selari dengan tujuan utama penubuhan Skim Rondaan Sukarela iaitu untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat,” katanya.
Kenyataan dikeluarkan ini merujuk kepada insiden warga asing didakwa pergi dari rumah ke rumah di sebuah PPR Wangsa Maju di sini, bagi menyebarkan agama mereka kepada umat Islam seperti tular di media sosial.
Dalam kenyataan sama, HARMONI berkata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, turut membantah tindakan warga asing berkenaan.
Katanya, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Tindakan ini mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan, keharmonian, dan perpaduan antara pelbagai komuniti di negara ini.
“Oleh itu, sebarang aktiviti yang menjejaskan ketenteraman awam serta kesejahteraan bersama harus dihentikan serta-merta.
“Malaysia yang terkenal dengan kepelbagaian budaya dan agama, amat menekankan pentingnya sikap saling menghormati dan hidup bersama dalam suasana aman damai,” katanya.
HARMONI berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga akan sentiasa memainkan peranan dalam memberi nasihat serta bimbingan kepada umat Islam mengenai kepentingan menjaga akidah, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan nilai hormat, ihsan dan kesejahteraan bersama.
“Sebagai negara yang menjunjung prinsip perpaduan, kedua-dua menteri turut menyeru semua pihak menjaga keharmonian dan menghormati nilai-nilai budaya serta agama yang telah lama menjadi asas kehidupan bersama rakyat Malaysia.
“Mereka juga berharap agar peristiwa sebegini tidak akan berulang dan tindakan tegas akan diambil untuk memastikan kelangsungan perpaduan nasional,” katanya.