Warga asing dilarang menjaja, kerja di pasar borong

Warga asing dilarang menjaja, kerja di pasar borong

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasakan Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terlibat dalam sektor penjajaan termasuk pasar borong.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tindakan penguatkuasaan itu turut melibatkan lain-lain agensi yang terbabit seperti Jabatan Imigresen Malaysia.

“Kebanjiran para peniaga warga asing khususnya di sektor Tred, Perniagaan & Industri dan Penjajaan telah memberi impak yang tidak baik kepada para peniaga tempatan serta mencemarkan imej bandar raya Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan.

Kuala Lumpur yang diurus tadbir oleh DBKL, mempunyai dua kategori perniagaaan yang dikawal oleh UUK, bertujuan untuk mengawal aktiviti perniagaan tersebut serta menguatkuasakan peruntukan peraturan di dalamnya.

Nor Hisham yang tampil membuat penjelasan bagi mengelakkan kekeliruan memberitahu, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penempatan Makanan (WPKL) 2016 membenarkan pemegang lesen untuk mengambil mana-mana warga asing yang mempunyai permit kerja yang sah untuk bekerja di premis-premis dilesenkan di bawah undang-undang tersebut.

“Pelesenan bagi kedua-dua UUK tersebut memperuntukan mana-mana orang, termasuk syarikat milik warga asing, boleh memohon lesen perniagaan.

“Kuasa mutlak Datuk Bandar untuk meluluskan atau menolak sesuatu permohonan lesen oleh mana-mana orang serta dalam mempertimbangkan apa-apa permohonan, Datuk Bandar juga akan merujuk kepada dasar semasa kerajaan, garis panduan dan perundangan-perundangan lain yang berkaitan,”

“Selain itu, aktiviti perniagaan itu pula beroperasi di rumah kedai, kompleks beli-belah, bangunan pejabat, restoran, kedai runcit dan serbaneka,” katanya.

Nor Hisham berkata, penjajaan pula mengguna pakai UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Mengikut UUK Pasar Borong (WPKL) 2002, perundangan membenarkan pemegang lesen untuk mengambil pembantu warga tempatan yang telah diluluskan Datuk Bandar sahaja untuk bekerja di pasar borong.

“UUK Pelesenan Pasar (WPKL) 2016 tidak membenarkan pemegang lesen pasar sama ada pasar awam atau pasar persendirian, untuk mengambil bekerja mana-mana pembantu warga asing di pasar awam atau mengambil mana-mana warga asing tanpa permit kerja yang sah, untuk bekerja di pasar persendiriannya.

“UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 tidak membenarkan pemegang lesen mengambil warga asing bekerja di gerainya,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata, pelesenan bagi ketiga-tiga UUK tersebut adalah mana-mana orang iaitu warganegara sahaja boleh memohon lesen pasar borong, pasar dan penjaja.

“Kuasa mutlak Datuk Bandar untuk meluluskan atau menolak sesuatu permohonan lesen oleh mana-mana orang.

“Aktiviti perniagaan tersebut meliputi Pasar Borong, Pasar dan Penjaja yang beroperasi di Pasar, Penjaja Tepi Jalan, Pusat Penjaja dan Pasar Malam,” katanya.- WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )