Wanita maut disyaki dipukul suami guna dumbel angkara cemburu
SHAH ALAM,. Seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 5.33 pagi oleh suspek sendiri yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.
Beliau berkata hasil pemeriksaan awal oleh doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya dan siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul oleh suspek akibat cemburu di rumah mereka sebelum dibawa ke hospital.
Menurutnya bertindak atas maklumat tersebut, pada 12.49 tengah hari lelaki itu ditahan di Hospital Shah Alam dan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya iaitu sebuah dumbel turut dirampas.
“Pasangan tersebut baru berkahwin pada April lepas dan belum mempunyai anak. Si mati bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di Sarawak pulang bercuti untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya,” katanya dalam kenyataan malam Jumaat.
Mohd Iqbal berkata suspek berusia 38 tahun yang bekerja sendiri mempunyai dua rekod lampau kes pukul dan dadah, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah.
Menurutnya suspek akan direman esok di Mahkamah Shah Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Mohd Afandi Bin Ahmad di talian 016-7252948.
— BERNAMA