Vida sesuai beli pasukan UiTM FC, KL

Vida sesuai beli pasukan UiTM FC, KL

KUALA LUMPUR,. Pasukan UiTM FC yang beraksi di Liga Super dan Kuala Lumpur (Liga Perdana) tampak memenuhi ‘syarat awal’ seperti dimahukan jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman.

Justeru, pemerhati bola sepak, Dr Zulakbal Ab Karim mencadangkan Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida itu supaya mempertimbangkan dua pasukan itu untuk dimiliki pada musim depan selaras dengan projek penswastaan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jelas Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), lebih penting apabila dua pasukan itu disifatkan mampu menjadi ‘alat perniagaan’ terbaik buat Hasmiza sekali gus menepati kemahuannya sebagai ahli perniagaan.

“Kalau kita tengok menerusi penajaannya sebelum ini khususnya membabitkan program hiburan yang mendapat sambutan hangat, dia sentiasa mahukan sesuatu yang ‘trendy’ dan saya lihat Kuala Lumpur ada faktor ini.

“Dengan pasukan yang berpusat di ibu kota, sudah tentu kalau dia membeli pasukan Kuala Lumpur, dia dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang perniagaan yang ada. Bolehlah dia buat misi serampang dua mata iaitu sambil beli pasukan sambil berniaga.

“Selain itu, UiTM FC juga ada faktor yang sama. Walaupun tiada penonton tetapi mereka memiliki khalayak yang besar (mass audience) membabitkan pelajar dan kakitangannya serta kampus di seluruh negara.

“Bayangkan berapa banyak fakulti yang ada dan lebih 200,000 pelajar di seluruh negara, berapa besarkah peluang perniagaan dan kerjasama strategik yang boleh Vida dapat?,” katanya.

Terdahulu, BH Sukan melaporkan pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu mengakui sedang ‘merisik’ beberapa pasukan yang berpotensi untuk dimiliki sekali gus menyaksikan dia akan membuat kemunculan semula dalam arena bola sepak selepas kali terakhir bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) pada 2016.

Namun, apa yang mengejutkan adalah Vida tidak memburu ‘ikan jerung’ sebaliknya dia mensasarkan pasukan berstatus bukan pilihan namun dilihat memiliki kemampuan untuk mencipta kejutan.

Dalam masa sama, Zulakbal menyifatkan keputusan Vida yang mensasarkan pasukan ‘underdog’ mungkin disebabkan dia sudah mendapat pengajaran daripada pengalaman lampau dan kini lebih berhati hati untuk membabitkan diri dalam bola sepak.

“Mungkin dulu dia tidak dapat mencapai apa yang dimahukan dan jika dia memegang pasukan kecil, mungkin tidak banyak campur tangan. Jadi dia boleh menyusun perancangannya dengan lebih baik,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )