Utamakan tenaga kerja tempatan di pasar borong Kuala Lumpur

Utamakan tenaga kerja tempatan di pasar borong Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memecahkan monopoli warga asing di Pasar Borong Kuala Lumpur dan mengutamakan warga tempatan untuk kembali bekerja.

Seperti yang dilaporkan, sekurang-kurangnya 3,500 pendatang asing tanpa izin yang sebelum ini bebas bekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur dekat Selayang, berjaya ‘dihapuskan’ DBKL susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) terhadap kawasan terbabit.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr JP Santhara Kumar menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian terbesar kementeriannya di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, tindakan monopoli pekerja asing terhadap Pasar Borong Kuala Lumpur sudah berlarutan sejak lebih 20 tahun dahulu dan situasi itu selama ini dilihat seolah-olah sukar untuk dihapuskan.

Santhara bagaimanapun berkata, perkara itu berjaya direalisasikan apabila kini hanya 16 pekerja asing yang digajikan di pasar borong itu dengan permit kerja yang sah.

Langkah itu sebenarnya wajar dicontohi oleh PBT lain di kawasan pentadbiran mereka. Jika mana-mana kawasan sudah dikuasai warga asing dari segi perniagaannya, maka gempurlah segera.

Persepsi bahawa operasi perniagaan akan lumpuh tanpa warga asing hanyalah alasan peniaga yang mahu kerja mudah menggajikan warga asing.

Sebenarnya rakyat Malaysia bukannya malas ataupun banyak songeh tetapi pada kebiasaannya peluang itu sudah tertutup kerana diberikan kepada warga asing.

Jika diukur dari segi kemahiran, rakyat tempatan berkebolehan untuk melakukan kerja-kerja berat kerana persekitaran ekonomi ketika ini tidak lagi ‘senang’ seperti sebelum ini.

Apabila melibatkan survival kehidupan, rakyat Malaysia juga mampu bertahan dengan kerja-kerja mencabar di pasar borong.

Dengan kadar pengangguran yang sudah melebihi 500,000 orang pada bulan Februari lalu, rakyat Malaysia amat memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Selepas ini, satu persatu kerja yang dirampas oleh warga asing dapat dikembalikan semula kepada rakyat tempatan.

— SINAR HARIAN

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )