USIM lancar portal ‘Jom Infaq’ galak masyarakat sumbang dana

USIM lancar portal ‘Jom Infaq’ galak masyarakat sumbang dana

NILAI,. Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Wakaf dan Zakat (PWZ)nya hari ini melancarkan portal Jom Infaq, sebuah pendanaan awam bagi memudahkan masyarakat menyumbang kepada projek kebajikan USIM.

Naib Canselornya Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata portal itu juga bakal menjadi projek berimpak tinggi USIM selain menyahut seruan kerajaan memperkasakan program atau projek wakaf melalui teknologi digital.

“Melalui platform ini, para penyumbang boleh melihat ketelusan pengagihan dan pengurusan dana setiap projek yang dipaparkan dan sebagai sebuah universiti awam, wakaf dan zakat haruslah menjadi sumber kewangan yang perlu diperkasakan.

“Untuk semua ini berlaku, kerjasama daripada organisasi amatlah diperlukan bagi membantu USIM sebagai institusi awam yang menjuarai aspek wakaf dan zakat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Portal Jom Infaq USIM di sini hari ini yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jelasnya, setakat ini terdapat enam projek yang telah dimasukkan ke dalam portal Jom Infaq termasuk pendidikan, kemasyarakatan dan komuniti yang dikategori kepada tiga bahagian iaitu berkonsepkan wakaf, infaq dan endowmen.

“Semenjak portal ini dibuka kepada umum pada 15 Ogos lepas sehingga ke hari ini kita nampak ada peningkatan yang sangat positif yang mana kami merasakan ia dapat membantu pelajar kita terutamanya dalam kalangan pelajar kurang berkemampuan,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli menyeru tokoh korporat di negara ini supaya turut sama memberi sumbangan melalui portal berkenaan bagi meringankan beban pelajar sekali gus mengukuhkan dana bagi USIM dalam melaksanakan projek berkaitan bantuan pendidikan dan kemasyarakatan.

“Pembudayaan wakaf melalui portal ini amat penting kerana kita berada pada zaman teknologi yang dapat mendorong lebih ramai penyumbang tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )