
Undi Belanjawan 2021 demi kepentingan negara, kata Dr Mahathir
KUALA LUMPUR,. Kurang 24 jam sebelum 220 Ahli Parlimen mengundi untuk Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat esok, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa mereka supaya mengundi demi kepentingan negara.
“Wakil rakyat yang sayang negara mereka jangan pilih parti, jangan pilih untuk diri sendiri tetapi pilih untuk negara,” kata bekas perdana menteri itu pada sidang media bersama veteran politik Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Ahli Parlimen Gua Musang di sini hari ini.
Esok, Ahli Parlimen akan mengundi sama ada Belanjawan 2021 diluluskan di peringkat bacaan kali ketiga setelah belanjawan itu diluluskan di peringkat dasar dengan kelebihan suara majoriti pada 26 November lepas.
Membayangkan bacaan ketiga Rang Undang-undang Perbekalan 2021 menghadapi kemungkinan ‘keputusan getir’, Dr Mahathir meminta wakil-wakil rakyat berganding bahu demi masa depan negara yang lebih kukuh.
“… saya harap mereka di parlimen tidak memikirkan tentang diri sendiri tetapi untuk negara … bukannya apa aku dapat tetapi apa aku boleh sumbang kepada kemajuan negara sendiri,” katanya.
Ahli Parlimen Langkawi itu, yang pernah menjadi perdana menteri sebanyak dua kali, berkata perlu diwujudkan semula dasar pemimpin politik mahu majukan negara berbanding kepentingan diri atau parti.
Dr Mahathir berkata ahli-ahli politik tidak boleh mengharap untuk mendapat jawatan menteri, timbalan menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) semata-mata kerana mahukan gaji yang besar tanpa memikirkan soal kepentingan negara dan rakyat.
Menyatakan impak pandemik COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat, beliau berkata usaha perlu dibuat untuk mengubah ekonomi negara ke arah lebih baik dan stabil, seterusnya mengembalikan Malaysia sebagai Harimau Asia.
Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh yang pernah dilabel sebagai seteru politik, tampil bersama mengumumkan kesediaan mereka bekerjasama dalam menawarkan pengalaman masing-masing untuk mencapai matlamat berkenaan secara bipartisan di atas platform memajukan negara.
Tengku Razaleigh berkata kerjasama mereka berdua dijalinkan atas dasar prihatin kepada nasib rakyat dan negara.
“Saya berharap perjumpaan kita hari ini akan bermula dengan langkah yang baik, langkah baharu, tidak mementingkan Dr Mahathir atau saya atau sesiapa pun, tetapi mementingkan rakyat lebih daripada segala-galanya,” katanya.
— Bernama