UMNO tidak pernah bincang Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri – Mahdzir

UMNO tidak pernah bincang Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri – Mahdzir

PUTRAJAYA,. UMNO tidak pernah membincangkan untuk meletakkan Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon perdana menteri (PM) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata Mesyuarat UMNO sebelum ini telah memutuskan bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai calon PM ke-10 sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi PRU15.

“Setakat ini keputusan yang kita buat di peringkat parti ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah ‘poster boy’ dan calon PM selepas PRU15.

Saya sebagai Naib Presiden parti mengatakan tidak pernah ada mesyuarat (bagi perbincangan Ahmad Zahid sebagai PM),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tiga Tahunan Kesatuan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Semenanjung Malaysia Kedua di sini semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan tular di media sosial bahawa Ahmad Zahid akan diangkat menjadi Perdana Menteri ke-10 pada PRU15 selain mendakwa perkara berkenaan akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 30 Sept.

Mahdzir menegaskan penularan berita berkenaan merupakan perbuatan yang cuba melaga-lagakan kepimpinan UMNO oleh sesetengah pihak dengan niat tidak baik.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN memberi bayangan bahawa Ismail Sabri kekal sebagai “poster boy” dan calon perdana menteri daripada BN pada PRU15.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )