UMNO bincang calon dengan Zahid selepas pelancaran jentera BN hari ini – Ab Rauf

UMNO bincang calon dengan Zahid selepas pelancaran jentera BN hari ini – Ab Rauf

ALOR GAJAH,. Isu berkaitan calon UMNO pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 Nov ini akan dibincangkan dengan presiden parti itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata saringan calon masih dibuat di peringkat bahagian dan senarai pendek belum diperincikan.

”Banyak yang akan dibincang dan diperhalusi esok (hari ini) ketika presiden melancarkan jentera. Bagi kerjasama dengan parti lain, ia tertakluk kepada persetujuan peringkat tertinggi. Pun begitu BN Melaka kini bersedia menghadapi PRN pada 20 Nov ini,” katanya.

Bercakap pada sidang media di Villa D’Acqua, Masjid Tanah di sini pada Isnin, Ab Rauf berkata perbincangan pada Selasa juga melibatkan strategi dan jentera pilihan raya parti.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada Isnin mengumumkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal 16 Nov.

Pada 4 Okt lepas, SPR menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh setelah kerajaan negeri pimpinan BN hilang majoriti di DUN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )