Ucapan PM sempena pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
PUTRAJAYA,. Berikut adalah ucapan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis pelancaran Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.
1. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera. Apa khabar semua? Saya doakan agar saudara saudari sihat wal afiat dan dilindungi daripada jangkitan COVID-19.
2. Saya ingin memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT kerana pada hari ini, kita akan melancarkan Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Ini merupakan satu lagi langkah ke hadapan dalam kita menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, iaitu program vaksinasi terbesar yang akan dilaksanakan di negara kita.
3. Buku Panduan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini diterbitkan untuk menerangkan dengan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi. Dokumen ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, tetapi juga untuk rujukan masyarakat.
4. Penerbitan buku ini tepat pada masanya kerana tidak lama lagi negara akan menerima penghantaran pertama vaksin COVID-19. Di sini, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21Februari 2021. Selanjutnya, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari 2021, di mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.
5. Seperti yang telah diumumkan, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa. Fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula pada 26 Februari sehingga April 2021. Fasa kedua pula akan bermula pada bulan April sehingga Ogos 2021 dan akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi, manakala Fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Febuari 2022.
6. Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19.
7. Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang – iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti. Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua. Pada masa yang sama, saya juga dengan sukacitanya ingin melancarkan laman web www.VaksinCovid.gov.my di mana Buku Panduan Program Imunisasi ini boleh dimuat turun.
8. Apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu. Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19. Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini.
9. Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah tentang perkara ini. Apabila tiba masanya, jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin. Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan, untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi.
Sekian, terima kasih.