Tuntutan RM10 juta oleh PKR bukan perjanjian

Tuntutan RM10 juta oleh PKR bukan perjanjian

PUTRAJAYA,. Tuntutan RM10 juta oleh PKR terhadap setiap wakil rakyatnya yang keluar daripada parti itu, didakwa bukan perjanjian yang mengikat mereka.

Justeru itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, merasakan tuntutan terbabit tidak akan berhasil.

Beliau berkata, setakat hari ini, beliau belum menerima sebarang notis tuntutan daripada bekas partinya itu.

“Setahu kita perkara itu tidak mengikat. Kita akan serahkan kepada peguam untuk menguruskan dan kita yakin benda (tuntutan) ini tidak akan berhasil.

“(Saya) belum lagi terima (notis tuntutan). Cakap je lebih,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Korban JBPM 2020, di Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Putrajaya, di sini, hari ini.

Menyifatkan ia sudah tidak bermakna, Zuraida berkata, tidak perlu dibangkitkan isu yang tidak relevan.

Katanya, adalah lebih baik untuk tumpuan diberikan kepada membantu rakyat.

PKR sebelum ini dilapor menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta seorang terhadap 20 wakil rakyat keluar parti, termasuk daripada bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida.

Ganti rugi itu dikatakan dipersetujui kumpulan wakil rakyat terbabit jika keluar parti dan menggunakan kerusi mereka bagi kepentingan sendiri dan berlawanan kepentingan PKR.

Selain Azmin dan Zuraida, MP dan ADUN yang dituntut ganti rugi adalah Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota); Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak); Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal); Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat) dan Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat).

Turut berdepan tuntutan itu ialah Ali Biju (Saratok); Jonathan Yasin (Ranau); Dr Chong Fat Full (Pemanis); Datuk Muhammad Jailani Khamis (Rembia); Datuk Abdul Yunus Jamahri (Kuala Krau); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia); Baru Bian (Selangau); Azman Nasrudin (Lunas); Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam); Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya); Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya), Daroyah Alwi (Sementa) dan Zulkifli Ibrahim (Sungai Aceh).

–BH

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )