Tukar kebun sayur jadi taman tema air demi anak-anak

Tukar kebun sayur jadi taman tema air demi anak-anak

KUALA LUMPUR,. Demi kasih dan sayang kepada enam anaknya, seorang bapa sanggup mengorbankan ratusan ribu ringgit untuk mengubah kebun mini di belakang rumahnya di sebuah daerah di Selangor bagi membina sebuah taman tema air mini.

Mungkin jarang didengar, tetapi itulah yang dibuat seorang ahli perniagaan, Shukrie Ab Rahim, 37, demi memberi kepuasan kepada enam cahaya matanya, berusia antara tiga hingga 11 tahun itu, yang sangat gemarkan aktiviti air.

“Asalnya ruang tanah itu adalah kebun mini yang diusahakan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020. Ada pelbagai jenis sayuran ditanam antaranya kangkung, cili, kacang panjang, petola, tomato, sawi dan bendi… semuanya hanya untuk makan sendiri.

“Namun, anak-anak pula bosan kerana tak dapat keluar dari rumah, itu yang mendorong saya untuk membinanya, lagipun anak-anak juga selalu ajak pergi ke taman tema selepas tamatnya tempoh PKP,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, taman tema air mini seluas kira-kira 21 x 15 meter persegi atau sebesar gelanggang futsal itu dibina secara berperingkat bermula daripada proses membuat pelan, mengorek tanah, memasang permainan, menanam pokok dan membuat landskap keseluruhan.

Ia mula dibina pada 2021 dan siap sepenuhnya setahun kemudian dengan dilengkapi kolam renang, taman permainan air, gelongsor air, zoo mini dan dikelilingi pokok mulberi dan pokok anggur serta air pancuran.

Malah, bagi mewujudkan suasana seakan-akan berada di taman tema air sebenar atau komersial, landskap di sekitar kawasan itu turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan lain seperti bilik gimnasium, surau, tandas, gerai, bilik persalinan, mesin layan diri dan tempat istirahat.

Shukrie berkata antara tujuan utamanya membina taman tema air mini itu adalah untuk dijadikan lokasi berkumpul bersama keluarga dan sanak saudara serta kira-kira 60 pekerjanya.

“Kami masing-masing mempunyai keluarga yang besar… ada anggota keluarga, terutama generasi muda langsung tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini. Alhamdulillah, secara tidak langsung, ia menjadi medan untuk mereka berkenalan dan mengeratkan ikatan kekeluargaan.

“Ia juga menjadi lokasi terbaik untuk berkumpul dan melakukan aktiviti riadah bersama pekerja dan keluarga mereka. Inilah masanya untuk kami saling mengeratkan hubungan antara kami. Lagipun, daripada kami semua berkumpul di luar, lebih baik kami berkumpul di sini,” katanya.

Pada masa sama, katanya, taman tema air mini itu turut dibuka bagi aktiviti riadah buat anak-anak yatim tajaannya dari Rumah HALO Prihatin Jalinan Kasih di Cheras dan Rumah HALO Prihatin Ainul Kasih di Pasir Gudang, Johor.

“Ia adalah antara aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat saya menerusi konsep ‘Happy Bersama’. Saya ingin berkongsi rezeki dan membawa kebahagiaan kepada mereka dan mereka boleh bermain sepuasnya.

“Kadang-kadang, ada juga kawan-kawan anak yang satu sekolah datang ke sini untuk bermain bersama… saya sentiasa mengalu-alukan tetamu untuk datang ke rumah… tetapi untuk mereka yang dikenali sahajalah,” katanya.

Kisah taman tema air mini itu tular di aplikasi TikTok selepas dimuat naik oleh isterinya, Norashikin Nordin, 35, sehingga meraih 4.7 juta tontonan sejak Oktober lepas.

Norashikin yang sedang sarat mengandung anak ketujuh berkata banyak maklum balas positif diterima namun ada juga kecaman.

“Kebanyakannya positif dan beranggapan saya bergurau dan tidak percaya. Ada juga yang tiba-tiba menawarkan diri nak datang mandi. Ada juga yang bertanya adakah kami ada menyediakan perkhidmatan homestay (Inap Desa).

“Saya terima saja semua komen dengan lapang dada kerana tujuan saya berkongsi video berkenaan adalah untuk kenangan sahaja,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )