Tujuh pasukan lelaki, enam skuad wanita rebut kejuaraan LHM 2022

Tujuh pasukan lelaki, enam skuad wanita rebut kejuaraan LHM 2022

KUALA LUMPUR,. Sebanyak 13 pasukan, masing-masing tujuh dalam kategori lelaki dan enam dalam saingan wanita bakal menghangatkan kempen Liga Hoki Malaysia (LHM) 2022 yang dijadual bermula 18 Febuari ini.

Tujuh pasukan berentap dalam saingan lelaki adalah juara bertahan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, UiTM HA, Nurinsafi Sporting, Maybank Hockey Team dan juara Piala TNB 2021 Terengganu Hockey Team (THT).

Bagi kategori wanita, tiga pasukan baharu iaitu Negeri Sembilan Girls, Sarawak dan ‘National Development Team’ yang merupakan Skuad Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan berentap bersama-sama Mutiara Impian-MSSPP-PSHA, Sabah dan KPT-Uniten Thunderbolts.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata perancangan awal adalah untuk saingan liga itu berakir pada Jun tetapi diawalkan bagi mengelakkan ia bertembung dengan kalendar Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Persekutuan Hoki Asia (AHF).

“Keputusan ini juga dibuat kerana kami percaya ketua jurulatih kebangsaan memerlukan masa untuk mempersiapkan pasukan kebangsaan dan menjalani latihan menjelang kejohanan akan datang.

“Kejohanan yang berlangsung akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia termasuk menggunakan garis panduan daripada FIH,” katanya dalam kenyataan, pada Jumaat.

Beliau pada masa sama menyarankan semua pemain dan pegawai pasukan terlibat dalam saingan musim 2022 untuk mendapatkan suntikan dos penggalak, namun ia bukan syarat wajib penyertaan.

“Jika mereka mendapatkan suntikan tersebut adalah lebih baik bagi meningkatkan lagi keyakinan semua yang terlibat,” katanya.

Saingan musim 2022 kembali menggunakan format asal dengan dijalankan secara timbal balik selain kesemua perlawanan akan berlangsung di lima venue terpilih.

Lima venue itu adalah Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil; Stadium Hoki MBKT Batu Buruk, Terengganu; Stadium Hoki Bertam, Pulau Pinang; Stadium Hoki Seremban 2 dan Stadium Hoki Majlis Perbandaran Klang.

Empat pasukan teratas dalam kedua-dua kategori akan mara ke pusingan separuh akhir untuk merebut Kejuaraan Piala TNB bagi kategori lelaki sementara kategori wanita akan berentap untuk merangkul Kejuaraan Piala Vivian May Soar.

Saingan LHM 2022 akan membuka tirai dengan perlawanan Sumbangsih antara UniKL dengan THT di Stadium Hoki Nasional pada 18 Febuari.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )