Tujuh inisiatif libatkan RM61 juta diperuntuk bantu penggiat industri pelancongan

Tujuh inisiatif libatkan RM61 juta diperuntuk bantu penggiat industri pelancongan

KUCHING,. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah melaksanakan tujuh inisiatif bantuan kewangan melalui pakej bantuan secara konsisten sejak tercetusnya pandemik melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM61 juta.

Menterinya Dato Sri Nancy Shukri berkata, tujuh insentif bagi membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 itu adalah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020, Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia 2021 (PERMAI), Pakej Belanjawan 2021, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) 2021 serta Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) 2021.

“Selain itu, Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) 2021 dan Geran Khas Prihatin 2021 di mana secara keseluruhannya berjumlah RM 61 juta.

“Bantuan yang diberikan ini adalah secara berperingkat dan sebahagian lagi masih dalam urusan pembayaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, Ahli Parlimen Batang Sadong itu memberitahu, MOTAC turut melaksanakan beberapa inisiatif berbentuk bukan kewangan kepada syarikat dan pemandu pelancong berlesen.

Antaranya kata Nancy, pengecualian bayaran fi lesen, diskaun pembayaran kompaun sebanyak 40 peratus, pelanjutan tempoh bayaran kompaun, pengecualian kompaun kepada mereka yang gagal memperbaharui lesen yang mana semua inisiatif ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2021.

“Oleh itu, MOTAC juga berharap agar segala bentuk bantuan yang diberikan ini dapat membantu kelangsungan hidup penggiat industri seterusnya dapat kembali pulih sebaik saja dibenarkan beroperasi oleh pihak kerajaan kelak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, satu majlis penyampaian bantuan telah diadakan di Langkawi yang merupakan kesinambungan daripada pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh MOTAC.

Tegasnya, ia bagi meringankan beban yang ditanggung oleh penggiat industri yang terkesan untuk kembali memulakan operasi perniagaan mereka setelah sekian lama berada dalam situasi yang amat mencabar.

“Usaha yang dilakukan oleh MOTAC ini diharapkan dapat merancakkan semula aktiviti yang melibatkan keseluruhan rantaian dalam sektor pelancongan, seni
dan budaya.

“Untuk rekod, sebanyak empat segmen pelancongan yang di kawal selia oleh MOTAC iaitu pemandu pelancong, pengusahaan Pelancongan, Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) serta spa dan pusat urut kaki telah menerim manfaat melalui bantuan kewangan dan bukan kewangan yang diberikan secara berfasa sebelum ini,” jelasnya lagi.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)