Tuduhan Khairy Terhadap PTD Tidak Berasas – PPTD

Tuduhan Khairy Terhadap PTD Tidak Berasas – PPTD

KUALA LUMPUR, 29 Jan 2025 – Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) menegaskan bahawa Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sentiasa menjalankan tugas mereka secara profesional, berasaskan data, dan mengambil kira realiti operasi dalam merangka serta melaksanakan dasar kerajaan, termasuk dalam sektor kesihatan.

Presiden PPTD, Datuk Awang Alik, menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sebagai tidak berasas dan tidak menggambarkan proses sebenar dalam penggubalan dasar kerajaan. Khairy sebelum ini mendakwa PTD hanya ‘melihat pada helaian Excel’ tanpa memahami realiti operasi hospital.

“Kejayaan sistem kesihatan awam Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa adalah hasil kerjasama erat antara golongan profesional kesihatan dan PTD dalam memastikan dasar yang diperkenalkan adalah seimbang serta mampan.

“Tuduhan bahawa PTD gagal memahami cabaran sektor kesihatan bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak mencerminkan realiti sebenar pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, dalam program audio siar Keluar Sekejap, Khairy mengaitkan kegagalan sistem Pelaksanaan Waktu Bekerja Berlainan (WBB) bagi petugas kesihatan dengan jurang pemahaman dalam kalangan birokrat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap realiti amalan perubatan. Beliau turut mengkritik proses pembuatan keputusan, dengan menegaskan bahawa ia dikendalikan oleh penjawat awam yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam operasi hospital.

Mengulas lanjut, Awang Alik menegaskan bahawa pelaksanaan WBB tidak dibuat secara sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui sesi libat urus yang menyeluruh dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pegawai perubatan, pentadbir hospital, dan kesatuan pekerja kesihatan.

“Dasar ini digubal berdasarkan kajian mendalam serta amalan terbaik antarabangsa, dengan mengambil kira kesejahteraan pegawai perubatan tanpa menjejaskan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa sebagai penjawat awam yang terlatih dalam pembangunan dasar, PTD bertanggungjawab memastikan keputusan yang dibuat berasaskan bukti serta kajian yang menyeluruh.

“Setiap pelaksanaan dasar baharu pasti berdepan cabaran serta memerlukan ruang penambahbaikan, tetapi tidak adil untuk menuding jari kepada PTD semata-mata tanpa memahami keseluruhan proses dan faktor yang mempengaruhi pelaksanaan sesuatu dasar,” tambahnya.

Menurut Awang, KKM sebelum ini telah menjelaskan bahawa WBB merupakan dasar yang dirangka oleh doktor untuk doktor, dan bukannya ditentukan secara unilateral oleh PTD di Putrajaya.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan bahawa PTD tidak memahami realiti sektor kesihatan, sebaliknya menegaskan bahawa peranan PTD adalah untuk memastikan dasar tersebut dapat dilaksanakan dengan baik dalam rangka pentadbiran negara yang lebih luas.

Sebagai kesimpulan, PPTD menggesa semua pihak untuk memahami proses perumusan dasar sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat.

“Kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk pegawai perubatan dan PTD, adalah kunci dalam memastikan setiap dasar yang diperkenalkan benar-benar memberi manfaat kepada semua tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan awam negara,” katanya.

mediabatu.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )