TNB terus taja pelari menara nombor satu Asia

TNB terus taja pelari menara nombor satu Asia

KUALA LUMPUR,. Pelari menara nombor satu Asia, Soh Wai Ching menerima suntikan moral bagi merealisasikan hasrat menjadi pelari menara nombor satu dunia selepas menerima tajaan berjumlah RM70,000 daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk musim hadapan.

Penajaan berkenaan disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam satu majlis ringkas di Ibu Pejabat TNB, Jalan Bangsar di sini, Jumaat lepas.

Menurut Amir Hamzah, TNB berbangga dengan kejayaan pelari berusia 26 tahun itu yang mencipta rekod baharu Guinness World Records untuk Pendakian Tangga Menegak Terhebat dalam Satu Jam – Lelaki menerusi percubaannya di Hotel Four Seasons di sini pada 18 Nov lepas.

Soh mencatat larian setinggi 1.295km dalam tempoh satu jam, sekali gus memperbaharui rekod terdahulu setinggi 1.227km yang dipegang David Robles Tapia dari Sepanyol pada 2019.

“Untuk melakukan sesuatu seumpamanya adalah satu pencapaian mengagumkan yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, serta mengharumkan nama Malaysia sekali lagi di persada antrabangsa,” jelas Amir Hamzah dalam kenyataan dikeluarkan TNB hari ini.

Beliau memaklumkan kerjasama antara kedua-dua pihak bermula sejak 2019 dan penajaan terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan tajaan berjumlah RM180,000.

Dalam pada itu, Soh menyifatkan sokongan berterusan daripada TNB amat bermakna untuk dirinya bagi merealisasikan hasrat menjadi pelari menara nombor satu dunia.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada TNB atas sokongan, terutamanya ketika permintaan saya di saat akhir untuk menggandakan penajaan mereka bagi Projek Guinness World Records.

“Tanpa TNB, saya tidak mungkin layak untuk mencipta rekod itu disebabkan bayaran lesen yang diperlukan,” kata Soh, yang juga Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia.

Antara pencapaian terbaik beliau termasuk memenangi Cabaran Towerthon Antarabangsa Menara Kuala Lumpur 2019, Seoul Lotte World Tower Sky Run 2019 (juara), Empire State Building Run Up 2019 (tempat kedua), Taipei 101 Run Up 2019 (tempat keempat), serta menjadi satu-satunya wakil Asia yang bertanding dalam kategori elit pada Kejohanan La Vertical de la Tour Eiffel Tower 2019.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )