TNB rugi RM9 juta akibat perlombongan bitcoin, polis buru dalang utama

TNB rugi RM9 juta akibat perlombongan bitcoin, polis buru dalang utama

MELAKA,. Polis Melaka memburu seorang lelaki dipercayai dalang utama sindiket perlombongan mata wang bitcoin di negeri itu sehingga menyebabkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami kerugian kira-kira RM9 juta sejak Februari 2019.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata individu tersebut, Tan Joe Pheng, 26, dikehendaki kerana aktif menggerakkan aktiviti perlombongan bitcoin di 18 premis di sekitar negeri itu.

“Saya menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat berkaitan suspek untuk memaklumkan kepada pihak polis. Kepada suspek juga, saya menyeru agar tampil ke balai polis berhampiran untuk menyerah diri,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, semalam.

Jelas Abdul Majid, lelaki tersebut dikehendaki bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) / 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memperuntukkan hukuman hingga 10 tahun penjara atau denda tidak melebihi RM1 juta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis telah menahan enam individu berumur 29 hingga 39 tahun termasuk seorang lelaki dan wanita dipercayai adik-beradik kepada dalang utama berkenaan yang berperanan sebagai akauntan dan pengurus aktiviti perlombongan bitcoin.

Keenam-enam individu berkenaan termasuk seorang lelaki warga Indonesia ditahan di sekitar Melaka dan Selangor pada 16 dan 17 Mac lepas.

Abdul Majid berkata, polis turut membuat serbuan di enam premis iaitu masing-masing dua di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah serta Jasin yang dijadikan tempat menjalankan aktiviti berkenaan dan merampas 317 mesin perlombongan bitcoin serta pelbagai peralatan lain dan 38 anak kunci dipercayai kunci premis di sekitar Melaka.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata empat lelaki berumur antara 25 hingga 60 tahun ditahan kerana melakukan empat kes khianat dengan api dan 17 kes khianat dengan simbah cat terhadap mangsa pinjaman wang tidak berlesen, ‘along’ sejak 2019.

Katanya, kesemua lelaki berkenaan diupah antara RM200 hingga RM300 bagi melakukan perbuatan simbah cat manakala RM500 bagi perbuatan khianat dengan api ke atas rumah peminjam along yang gagal membuat pembayaran pinjaman dan jiran mereka dengan tujuan untuk memalukan pemin-jam.

“Semua lelaki berkenaan ditahan secara berasingan di sekitar daerah Melaka Tengah pada 10 Mac lepas dan pelbagai barang yang digunakan untuk melakukan perbuatan khianat termasuk 12 botol minuman keras yang digunakan untuk membuat bom botol turut dirampas.

“Hasil siasatan mendapati kesemua suspek yang ditahan diupah oleh along yang beroperasi di Johor secara dalam talian menerusi Facebook dan WhatsApp malah, komunikasi dan transaksi pembayaran antara mereka juga berlaku secara maya,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun bagi perbuatan khianat dengan api manakala bagi perbuatan khianat dengan simbah cat, hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )