TNB menyalurkan bantuan bagi meringankan beban pengguna yang terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights

TNB menyalurkan bantuan bagi meringankan beban pengguna yang terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights

Tenaga Nasional Berhad (TNB) amat prihatin terhadap kesulitan yang dialami oleh pelanggan yang terjejas akibat insiden letupan gas di Putra Heights pada 1 April 2025 (Selasa).

Sebagai inisiatif awal untuk meringankan beban pengguna yang terkesan, TNB akan melaksanakan program tanggungjawab sosial (CSR) Bantuan Kebakaran TNB dalam bentuk rebat sebanyak 100% bagi satu bulan bil secara one-off berdasarkan caj semasa bil bulan Mac 2025 dan akan dikredit dalam bil elektrik bulan April 2025 bagi pelanggan yang terjejas.

Selain itu, bantuan yang disediakan turut merangkumi perkara berikut:

• Tiada caj sambungan bagi permohonan semula bekalan elektrik untuk rumah yang  mengalami gangguan bekalan akibat insiden ini.

• Tiada surcaj lewat bayar bagi bil semasa.

TNB juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa serta kontraktor berdaftar yang dilantik untuk menjalankan pemeriksaan pendawaian, bagi memastikan sistem elektrik di rumah yang terkesan dalam keadaan baik dan selamat.

Pada ketika ini, TNB telah membuka kaunter perkhidmatan berhampiran Bilik Gerakan Polis mulai 2 April untuk memudahkan pengguna yang terjejas mendapatkan bantuan perkhidmatan berkaitan elektrik.

Pegawai TNB akan menghubungi semua pelanggan yang terkesan untuk mengatur bentuk bantuan yang akan disalurkan. Pengguna juga boleh menghubungi Ketua Perhubungan Pelanggan TNB, Encik Thava, di talian 012-6060954 untuk sebarang maklumat lanjut.

TNB akan menilai inisiatif bantuan dari semasa ke semasa mengikut keperluan selanjutnya.

TNB komited untuk terus memantau status bekalan elektrik di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.

TNB mendoakan kesejahteraan semua pihak yang terlibat dan berharap agar kerja-kerja pemulihan berjalan lancar.

Mengenai Tenaga Nasional Berhad

Tenaga Nasional Berhad (TNB) (www.tnb.com.my) ialah syarikat utiliti terkemuka di Malaysia dan Asia dengan operasi antarabangsa di United Kingdom (UK), Ireland, Australia, Turkiye, Arab Saudi, Kuwait, Pakistan dan Kemboja. Dalam sektor tenaga boleh baharu, TNB memiliki kapasiti penjanaan sebanyak 3,189MW di Semenanjung Malaysia (termasuk 2,536.1MW hidro berskala besar) dan 1,183MW merangkumi UK, Ireland, Australia dan Turkey, yang terutamanya terdiri daripada aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro. Selain menjadi penjana utama elektrik negara, TNB juga mengendalikan penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga 31 Disember 2024, TNB membekalkan elektrik kepada lebih daripada 11 juta pelanggan.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )