Tindakan pantas pihak berkuasa halang pencemaran Sg Semenyih

Tindakan pantas pihak berkuasa halang pencemaran Sg Semenyih

KUALA LUMPUR,. Tindakan pantas oleh LUAS (Lembaga Urus Air Selangor), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berjaya menghalang kemungkinan berlakunya pencemaran air di Sungai Semenyih di sini minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata, LUAS bertindak berdasarkan laporan yang dibuat oleh MPKj pada Khamis berkaitan pencemaran di longkang monsun di Taman Semenyih Permata, Semenyih di sini.

Beliau berkata, siasatan awal oleh LUAS, JAS dan MPKj mendapati sumber pencemaran itu adalah tapak operasi peleburan besi seluas 1.2 hektar di Mukim Hulu Semenyih, Hulu Langat.

“Pengusahanya didapati membuang debu karbon berwarna hitam yang dihasilkan daripada operasi peleburan mereka di dua kolam kecil berdekatan,” kata Hee pada sidang media di sini.

Tindakan itu berpotensi mencemarkan Sungai Semenyih yang terletak 2.3 km dari situ dan boleh sampai ke muka sauk stesen pam air mentah Jenderam Hilir, kira-kira 22 kilometer dari lokasi.

Beliau berkata, LUAS mengeluarkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 (1) Enakmen LUAS 1999 kepada pengusaha dan jika didapati bersalah, mereka akan dikenakan denda tidak lebih dari RM 50,000 atau penjara tidak lebih dari satu tahun atau kedua-duanya dan seterusnya denda RM 3,000 setiap hari sehingga Perintah Perlindungan Air ditarik balik.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )