Tiga rakyat Malaysia terima Anugerah Diana 2021

Tiga rakyat Malaysia terima Anugerah Diana 2021

KUALA LUMPUR,. Tiga anak muda Malaysia membanggakan negara apabila menjadi antara lebih 300 penerima Anugerah Diana 2021 berpangkalan di United Kingdom (UK), yang menghargai penglibatan serta sumbangan mereka dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan.

Mereka ialah Mogesh Sababathy, 23; Yi Kang Choo, 22 dan Sahana Kaur, 16, yang menerima pengiktirafan tersebut dalam satu majlis secara maya malam tadi.

Diwujudkan bagi memperingati Princes of Wales Puteri Diana, Anugerah Diana diberikan oleh badan amal Diana Award kepada generasi muda berusia sembilan hingga 25 tahun yang mencurahkan bakti untuk mewujudkan dan mengekalkan perubahan positif selain mengiktiraf kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan yang dilakukan mereka.

Menurut diana-award.org.uk/roll-of-honour-2021/, Sahana Kaur, penuntut Garden International School, Kuala Lumpur yang memegang beberapa beberapa jawatan seperti Pengerusi Jawatankuasa Belia Amnesty International Malaysia, mahu penggubal dasar mendengar pandangan generasi muda.

Remaja itu antara lain membantu cawangan Amnesty tempatan mengumpulkan 2,000 poskad petisyen untuk ‘Write for Rights’ – kempen yang pada 2020 membawa kepada pembebasan Magai Matiop, 19, daripada hukuman mati, selain turut bercakap tentang aktiviti belia di acara-acara bersekutu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Sementara itu, kecintaan Mogesh terhadap lautan mencetuskan ‘Project Ocean Hope’ yang diasaskannya secara bersama pada 2017, mengetengahkan tentang keperluan kepada usaha pemuliharaan marin. Pemuda ini juga menganjurkan forum pengurusan sisa buangan pada 2018, sebelum membawa Project Ocean Hope ke sekolah-sekolah, dan tahun ini sahaja beliau telah melawat 10 buah sekolah.

Sejak itu juga, Mogesh dan pasukan Project Ocean Hope telah menganjurkan satu siri webinar berkaitan kesedaran tentang lautan yang disertai lebih 10,000 individu dari 15 negara.

Kang Choo pula melancarkan ‘Welfare Taskforce for Malaysian Students Abroad’ (Pasukan Petugas Khas bagi Pelajar Malaysia di Luar Negara), yang menjadi platform untuk beliau menyalurkan sokongan kepada pelajar yang tidak dapat pulang ke tanah air disebabkan pandemik COVID-19, atau mengalami masalah kesihatan mental akibat keterasingan di bumi asing.

“Choo juga merupakan kauselor sukarela terlatih Persatuan Kebangsaan bagi Pencegahan Penganiayaan Kanak-Kanak (NSPCC), yang mana Choo menyokong golongan muda di UK dalam pelbagai isu penting termasuk buli, dera, mencederakan diri sendiri serta hubungan keluarga,” demikian menurut laman web itu.

Pada majlis itu, Duke of Sussex Putera Harry menzahirkan rasa bangga terhadap semua penerima.

“Bonda kami percaya orang muda mempunyai kuasa untuk mengubah dunia. Baginda berkeyakinan terhadap kemampuan kalian kerana baginda melihatnya saban hari pada wajah-wajah orang muda seperti kalian, baginda menyaksikan semangat yang berkobar-kobar,” titahnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )