Tiga premis niaga milik warga asing diarah tutup – DBKL

Tiga premis niaga milik warga asing diarah tutup – DBKL

KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menutup dua kedai makan dan sebuah kedai runcit di kawasan Kepong yang dikendalikan warga asing kerana beroperasi tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan, DBKL memaklumkan tindakan penguatkuasaan itu diambil mengikut Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Sebuah kedai makan yang diuruskan oleh warga asing di Taman Pusat Kepong diarah tutup dan sewaktu tindakan diambil, semua pekerja warga asing bertindak melarikan diri dan pemilik tiada dalam premis.

“Tindakan sama juga dikenakan terhadap sebuah lagi premis terletak berhampiran lokasi pertama yang dikendali dan diusahakan seorang wanita warga Bangladesh. Kedua-dua kedai makan ini tidak mempunyai lesen,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan tindakan penguatkuasaan ketiga dilaksanakan terhadap sebuah kedai runcit di Vista Mutiara yang menggunakan pembantu warga asing iaitu Bangladesh dan premis itu diarahkan tutup.

Dalam kenyataan berasingan, satu tindakan sita di bawah UUK3(1) – Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja dan Gerai 2016 dikenakan DBKL terhadap seorang warga asing yang tiada dokumen pengenalan diri kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran di Wangsa Maju.

“Difahamkan warga asing ini dikenakan sewaan RM1,000 sebulan oleh orang tempatan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga asing menjalankan perniagaan tanpa kebenaran supaya menghubungi Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau Pejabat Cawangan DBKL berhampiran.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )