Tiga petisyen pilihan raya difailkan ke SPR

Tiga petisyen pilihan raya difailkan ke SPR

KUALA LUMPUR,. Ketua Penerangan UMNO Isham Jalil mengesahkan Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen pilihan raya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Isham bagaimanapun tidak mendedahkan tiga kawasan berkenaan, sebaliknya ia akan diumumkan kemudian.

“Tiga petisyen telah difail untuk kita buat pilihan raya semula di kawasan-kawasan ini, ada bukti-bukti yang telah kita terima, bukti kukuh bahawa telah berlaku kesalahan pilihan raya terutama daripada segi rasuah (kepada) pengundi,” katanya pada sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO 2022 di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu terdapat beberapa lagi kawasan lain yang telah dikenal pasti dan akan difailkan petisyen pilihan raya.

“Setakat ini tiga dulu yang itu telah difail sebab sebelum nak fail ini kita kena kumpul semua (bahan bukti) lengkap dulu, jadi kita dalam proses untuk kumpul segala bahan ini sebelum kita fail kepada pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata gabungan itu akan memfailkan petisyen pilihan raya di beberapa kerusi bagi mencabar keputusan PRU15, selain mengesahkan petisyen itu mempunyai asas untuk difailkan.

Dalam pada itu semalam juga, seorang pengundi yang juga wakil kepada calon BN Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kota Bharu untuk mencabar keputusan PRU15 bagi kawasan itu.

Petisyen itu, yang difailkan oleh Mohd Azmi Mahmood pada 3 Januari lepas, menamakan Ahli Parlimen Gua Musang Datuk Mohd Azizi Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN), Pegawai Pengurus Pilihan Raya Ab Fatah Hasbullah dan SPR sebagai responden.

Tengku Razaleigh gagal mempertahankan kerusi itu kali ke-12 apabila beliau tewas majoriti tipis sebanyak 163 undi kepada Mohd Azizi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )