
Tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik bersifat diktator atau kartel – Freddie Fernandez
KUALA LUMPUR: Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) dan Persatuan Pencipta, Pelaku dan Penerbit (3P) Muzik Malaysia membidas tindakan tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik yang tidak bersetuju dengan Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
KARYAWAN dan 3P Muzik Malaysia turut mempersoal keputusan tiga organisasi terbabit iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia (RPM) yang dilihat tidak akur dengan ketetapan baharu dibuat kerajaan dalam isu kutipan royalti.
Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez mendakwa, tiga organisasi pengurusan kolektif industri muzik atau Collective Management Organization (CMO) terbabit bersifat diktator atau kartel yang mahu terus berkuasa.
“Sekiranya mereka bersetuju kepada Garis Panduan ini, mereka merasakan akan hilang kuasa, itu jadi satu masalah. Tetapi, bagi kami sebagai orang yang inginkan harmoni, kita bersedia duduk satu meja dan berbincang untuk selesaikan secara baik.
“Akan tetapi, perlu ada perubahan sewajarnya. Ini semua diatur oleh pihak yang menubuhkan badan itu supaya mereka boleh terus berkuasa.
“Jadi, untuk kita tukar mungkin mereka tak suka dan akan cuba mengelak dengan cara tidak bersetuju dengan garis panduan baharu ini,” katanya pada Sidang Mengharmonikan Industri Muzik bersama 3P Muzik Malaysia yang turut disertai beberapa penggiat muzik lain di sebuah hotel, di sini, semalam.
Sebelum ini, melalui kenyataan bersama, MACP, PPM dan RPM merujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan di laman web rasmi MyIPO pada 17 Januari lalu, disusuli kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berhubung isu berkenaan, baru-baru ini.
Jelas kenyataan itu, ketika sesi libat urus anjuran Bahagian Hak Cipta MyIPO bersama pengurusan organisasi pengurusan kolektif pada 12 Mac lalu, MACP, PPM dan RPM meluahkan pendirian bahawa garis panduan itu diterbitkan serta dimuktamadkan secara unilateral tanpa konsultasi dengan mereka.
Mereka mendakwa, kebanyakan peruntukan dalam garis panduan adalah ‘ultra vires’, iaitu melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan bercanggah dengan undang-undang lain yang berkuat kuasa.
Sementara itu, Presiden 3P Muzik Malaysia, Aris Ariwatan, memberi amaran kepada tiga organisasi CMO terbabit supaya tidak ‘biadap’ dengan keputusan kerajaan yang sudah mencari jalan tengah dalam isu kutipan royalti muzik di negara ini.
“Saya mohon jangan keterlaluan sampai menunjukkan kebiadaban kepada kerajaan dan garis panduan ini harus dipatuhi.
“Kebiadaban ini sampai satu tahap menunjukkan bahawa kami ini tiada harga. Jadi, tolong jangat ketara sangat dalam perkara ini, simpan sedikit dengan usia yang kita tidak diperlukan lagi nanti,” katanya.
Terdahulu, Sidang Mengharmonikan Industri Muzik turut mendapat sokongan daripada Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Kompleks Beli Belah, Persatuan Runcit Malaysia termasuk beberapa penyanyi dan komposer tempatan.