Tidak perlu imbas MySejahtera untuk masuk premis

PUTRAJAYA,. Imbasan kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebagai prosedur operasi standard (SOP) daftar masuk ke premis tidak lagi diwajibkan berkuat kuasa 1 Mei, umum Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, beliau berkata pengurusan premis hendaklah menyemak status risiko individu yang akan memasuki premis untuk memastikan mereka dengan status ‘High Risk’ iaitu kes positif COVID-19 dan yang diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemantauan (HSO) tidak dibenarkan masuk ke premis tersebut.

Dalam sidang media bagi mengumumkan kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 selaras dengan Fasa Peralihan Ke Endemik hari ini, Khairy berkata kemasukan individu ke mana-mana premis adalah dibenarkan tanpa mengira status vaksinasi mereka.

“Mereka yang positif COVID-19 walaupun mempunyai status vaksinasi lengkap masih tidak dibenarkan masuk ke premis.

“Ini termasuk individu dalam tempoh HSO termasuk pengembara tanpa vaksinasi lengkap yang baru tiba di Malaysia tidak dibenarkan masuk ke premis,” katanya yang turut meminta orang ramai mengaktifkan fungsi MySJ Trace untuk tujuan pengesanan kontak.

Khairy berkata aplikasi MySejahtera masih lagi penting untuk digunakan antara lain bagi tujuan pelaporan keputusan ujian pengesanan COVID-19 dan arahan HSO serta membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam pencegahan dan kawalan COVID-19.

Beliau berkata fungsi HotspotTracker yang dahulu digunakan untuk menjejak kawasan titik panas kes COVID-19 kini akan diubah sebagai Infectious Disease Tracker untuk melihat kawasan titik panas penyakit lain seperti rabies (penyakit anjing gila), demam campak (measles), penyakit tangan, kaki & mulut (HFMD) dan denggi.

“Kawasan ini akan ditentukan berdasarkan jumlah kes aktif di kawasan lingkungan pengguna untuk setiap penyakit berjangkit,” katanya.

Beliau berkata langkah proaktif itu diambil bagi mengelakkan daripada mengunjungi kawasan berisiko tinggi berlaku penularan penyakit berjangkit terutamanya jika bersama-sama mereka yang berisiko tinggi dan mempunyai komorbiditi.

“Saya juga amat menggalakkan persatuan-persatuan komuniti menggunakan fungsi ini untuk membantu dalam mengawal penularan penyakit berjangkit di kawasan kediaman masing- masing dengan melaksanakan pelbagai aktiviti seperti gotong-royong serta pembersihan kawasan perumahan dan perkampungan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )