Tidak ada keperluan untuk PKP – Ismail Sabri

Tidak ada keperluan untuk PKP – Ismail Sabri

PUTRAJAYA,. Tidak ada keperluan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata meskipun angka positif COVID-19 dilihat besar, namun kebanyakan kes itu melibatkan tahanan penjara di Kedah dan Sabah, yang terasing daripada komuniti.

“PKP ke hari ini? Tidak… kita tidak akan mengisytiharkan PKP kerana contohnya semalam, walaupun mencatatkan jumlah 287 kes tetapi 128 daripada 129 kes di Kedah misalnya, adalah melibatkan Kluster Tembok iaitu mereka di dalam penjara.

“Di Sabah, 35 kes adalah melibatkan Kluster Benteng juga di penjara… yang di luar 78 kes dan walaupun angka itu juga besar namun kami sudah buat kawalan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini, hari ini.

Beliau berkata kes di negeri-negeri lain juga mencatatkan angka yang rendah, sama ada satu hingga tiga kes sahaja, kecuali Selangor 31, namun ia belum sampai ke tahap merah.

“Rakyat diharap tidak terlalu panik, walaupun rakyat mungkin marah pada saya kerana kata jangan panik… tetapi walaupun begitu jangan ambil lewa dan rasa selesa… sentiasalah perketatkan kawalan kendiri, selagi vaksin tidak ditemui,” katanya.

Ditanya dakwaan orang politik berkempen di Sabah adalah punca peningkatan kes COVID-19 dalam negara, Ismail Sabri berkata lebih 13,000 saringan dilakukan dan lebih kurang 130 adalah positif, iaitu satu peratus daripada mereka yang kembali dari Sabah.

Satu peratus itu bukan orang politik semata-mata, turut melibatkan pelancong, orang yang mempunyai tugasan rasmi dan urusan perniagaan, katanya.

Mengenai kuarantin 14 hari tidak dikenakan kepada mereka yang pulang dari Sabah jika keputusan saringan negatif, sedangkan mereka yang kembali dari luar negara perlu kuarantin wajib 14 hari, Ismail Sabri berkata Sabah merupakan satu daripada negeri di Malaysia dan dengan itu perjalanan dari dan ke negeri itu dikategorikan sebagai rentas negeri.

“Tidak pernah sebelum ini rentas negeri dikenakan kuarantin wajib walaupun terdapat zon merah dalam negeri itu.

Ismail Sabri berkata kuarantin wajib dikenakan terhadap mereka yang pulang dari luar negara kerana tidak tahu sejarah perjalanan mereka, kawasan atau daerah yang dilawati serta siapa mereka bertemu.

“Kita tiada sejarah dari mana dia balik. Contohnya dari United Kingdom, kita tidak tahu sama ada kawasan itu zon merah ataupun tidak dan yang kedua kita tidak tahu siapa dia bersama sewaktu di luar negara dan pengesanan kontak tidak dapat dilakukan,” katanya.

Ismail Sabri berkata saringan dan kuarantin 14 hari dikenakan terhadap mereka yang pulang dari Sabah adalah langkah berjaga-jaga kerana kes tinggi dicatatkan.

Individu yang didapati negatif tidak perlu dikuarantin namun saranan Kementerian Kesihatan adalah menggalakkan kuarantin kendiri demi kepentingan diri, keluarga dan komuniti.

Beliau berkata tindakan menyiarkan gambar dan nama pesakit yang disahkan positif selain daripada Kementerian Kesihatan adalah salah di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

“Tidak pernah dulu-dulu waktu PKP nama positif didedahkan kerana ia bertentangan dengan hak kerahsian peribadi,” katanya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )