Tiada yang berubah sebagai pemain – Firhan

Tiada yang berubah sebagai pemain – Firhan

KUALA LUMPUR,. Episod sedih yang melanda Firhan Ashari susulan kehilangan puteri kesayangannya bulan lepas, tidak menjejaskan tumpuannya sebagai pemain hoki negara.

Mengakui terkesan dengan kehilangan anaknya, Nur Ayra Delisha, namun selepas perbincangan dengan isteri dan ahli keluarga yang memberi motivasi, pemain dari Terengganu itu mahu memberi fokus mendapatkan tempat dalam skuad kebangsaan.

Pemain berusia 27 tahun itu antara yang dipanggil oleh ketua jurulatih A. Arul Selvaraj menjalani sesi pemilihan selama empat minggu sebelum tersenarai dalam skuad ‘Speedy Tigers’.

“Setakat ini, tiada apa yang perlu difikir, hanya kembali bersama pasukan. Kalau ikutkan dari segi mental tidak ada yang berubah, hanya kehidupan sedikit lari (berbeza).

“Apa yang saya perlu buat ialah fokus, teruskan kehidupan,” katanya ketika ditemui pemberita pada hari pertama latihan skuad kebangsaan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Firhan kehilangan anaknya berusia dua tahun yang meninggal dunia akibat serangan sawan pada 12 Sept lepas.

Menurut Arul Selvaraj, seramai 37 daripada 38 pemain melaporkan diri kecuali Harvinder Singh yang tidak hadir pada sesi latihan berkenaan selepas menolak panggilan atas komitmen kerja sebagai akauntan.

Kesemua pemain bakal dinilai, termasuk tujuh muka baharu dalam tempoh empat minggu itu sebelum menamakan 25 pemain skuad ‘Speedy Tigers’ dan pemain akan diuji dengan enam aksi persahabatan sesama mereka.

“Saya baharu terima e-mel dari Harvinder yang menyatakan beliau tidak dapat beri komitmen untuk tiga bulan lagi kerana kekangan kerja. Saya tidak rasa ini sebagai kehilangan buat pasukan, tetapi beliau yang kehilangan peluang.

“Enam perlawanan telah dirancang sebagai sesi pemilihan sepanjang empat minggu, jadi pemain dapat bermain secara kompetitif serta berehat.

“Muka baharu dipilih atas kerja keras dan etika kerja yang ditunjukkan, jadi saya mahu melihat itu berterusan manakala pemain lain boleh jadikan ini sebagai contoh etika kerja standard dalam pasukan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )