Tiada tarikh ditetapkan buat tayangan Mulan

Tiada tarikh ditetapkan buat tayangan Mulan

FILEM ‘live-action’ Mulan ditarik daripada kalendar tayangan filem Disney ekoran pandemik COVID-19 yang melanda dunia.

Sebelum ini, filem arahan Niki Caro itu dijadual ditayangkan pada Mac namun telah ditangguhkan ke Julai, dan akhirnya pada 21 Ogos.

Terkini, tiada tarikh tayangan ditetapkan buat filem aksi sebenar itu yang dibintangi Liu Yifei, Yoson An dan Jet Li.

Memetik laporan The Hollywood Reporter, Disney bagaimanapun tidak memberi sebarang penjelasan berhubung keputusan untuk menayangkan Mulan.

Langkah ini membimbangkan pihak industri pawagam yang bergantung kepada tayangan Mulan serta filem arahan Christopher Nolan, Tenet untuk melonjakkan jualan tiket apabila dibuka semula.

Selain Mulan, tarikh tayangan beberapa filem terbitan Disney turut ditangguhkan, termasuk Avatar dan Star Wars, masing-masing sehingga ke 2022 dan 2023.

“Tiada siapa yang lebih kecewa dengan penangguhan ini daripada saya,” kongsi pengarah Avatar James Cameron menerusi satu muat naik di Instagram.

“Apa yang anda tidak tahu adalah, pandemik ini masih menghalang kami daripada memulakan semula kerja produksi secara maya di Los Angeles.

“Kerja-kerja untuk produksi maya sama pentingnya seperti kerja-kerja untuk filem aksi sebenar,” jelas beliau.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )