Tiada penundaan Perintah Gaji Minimum 2022 kepada mana-mana sektor ekonomi

Tiada penundaan Perintah Gaji Minimum 2022 kepada mana-mana sektor ekonomi

PUTRAJAYA,. Kerajaan memutuskan tiada penundaan akan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan dalam pelaksanaan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

Beliau berkata kerajaan telah memberi bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah yang telah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

“Ini juga bagi memastikan pekerja-pekerja mendapat manfaat daripada peningkatan gaji minimum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya kadar gaji minimum yang diputuskan adalah wajar bagi memastikan kebajikan pekerja terutama yang berpendapatan rendah terpelihara, selain pihak majikan juga akan mendapat manfaat daripada peningkatan kuasa beli pengguna.

“Kerajaan turut menjangkakan peningkatan gaji minimum ini akan memberi impak positif kepada negara, pihak majikan dan pihak pekerja, yang akan membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara akibat pandemik COVID-19.

“Peningkatan gaji minimum juga akan membantu mencapai hasrat Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030,” katanya.

Pada Rabu lepas (27 April), kerajaan telah mewartakan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa 1 Mei ini.

Bagi seseorang majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih serta majikan yang menjalankan sesuatu aktiviti profesional yang dikelaskan di bawah Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (Malaysia Standard Classification of Occupations, MASCO) 2020, kadar gaji minumum RM1,500 berkuatkuasa mulai esok (1 Mei).

Manakala bagi majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja, kuat kuasa gaji minimum RM1,500 akan bermula 1 Jan 2023.

“Oleh yang demikian, bagi tempoh 1 Mei 2022 hingga 31 Disember 2022, kadar gaji minimum yang terpakai ialah seperti PGM 2020 iaitu RM1,200 sebulan bagi tempat pekerjaan di kawasan Majlis Bandaraya atau Majlis Perbandaran, dan RM1,100 sebulan bagi kawasan selainnya.

“Penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan kepada majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja adalah bagi memberi peluang kepada majikan kategori ini membuat persediaan sewajarnya,” katanya.

Saravanan berkata kadar gaji minimum harian dan jam serta kadar gaji bagi pekerja yang tiada gaji pokok tetapi dibayar melalui tugasan dan produktiviti seperti komisen, upah ikut kerja dan sebagainya turut diperincikan dalam PGM 2022.

Beliau berkata pelaksanaan gaji minimum itu tidak terpakai kepada pekhidmat domestik sebagaimana PGM terdahulu.

Bagaimanapun gaji bagi Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) akan dibayar tidak kurang daripada kadar gaji minimum yang sedang terpakai di negara ini seperti yang dipersetujui dalam Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia di Malaysia yang ditanda tangani pada 1 April lepas.

“Penguatkuasaan gaji minimum akan dilaksanakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Sehubungan itu, semua majikan diminta mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )