Tiada lagi nasihat, tindakan dikenakan siapa langgar PKPB – Ismail Sabri

Tiada lagi nasihat, tindakan dikenakan siapa langgar PKPB – Ismail Sabri

PUTRAJAYA,. Tiada lagi nasihat sebaliknya tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang melanggar prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu hasil Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi ini susulan laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa terdapat banyak berlaku ketidakpatuhan terhadap SOP oleh orang ramai.

Kata beliau, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun atau didenda RM1, 000 atau dipenjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Rakyat kita seolah-olah menganggap PKPB ini sudah tiada undang-undang dikenakan. Ramai merasakan kebebasan ini tanpa syarat dan mengambil kesempatan untuk keluar beramai-ramai dan sebagainya termasuk membawa anak-anak ke pasar raya.

“Justeru, tiada lagi nasihat atau amaran dan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mereka yang melanggarnya,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau secara peribadi menerima penularan gambar kesesakan di warung-warung di Kampung Pandan yang pada mulanya disangka palsu.

Ujar beliau, bagaimanapun sangkaan itu meleset apabila perkara itu adalah benar selepas diperiksa oleh PDRM .

“Saya menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memeriksa sama ada fake atau tidak namun ianya adalah benar.

“Saya nak tekankan di sini apabila kita melonggarkan, kita mahu rakyat patuh setiap arahan dikeluarkan kerana bimbang berlaku kes baharu yang akan meningkatkan positif Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menegaskan, PKPB tidak semestinya akan kekal sebaliknya boleh diperketatkan kepada PKP semula seperti dilaksanakan sebelum ini.

“Kalau mahu PKPB ini terus dinikmati dan akhirnya PKPB ditamatkan ia bergantung kepada kepatuhan rakyat,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )