Tiada lagi kompaun, ingkar PKP diheret ke mahkamah

Tiada lagi kompaun, ingkar PKP diheret ke mahkamah

PUTRAJAYA,. Bermula fasa ketiga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok, pesalah yang ingkar perintah itu berdepan tindakan lebih tegas apabila mereka akan dikenakan tindakan direman sebelum dibawa ke mahkamah berbanding diberikan kompaun RM1,000.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan itu susulan rakyat dianggap bersikap tidak peduli dan tidak takut pada undang-undang termasuk kompaun RM1,000 yang disifatkan tidak terlalu tinggi.

“Tiada lagi tawar kompaun dengan mereka (individu ingkar PKP) boleh balik, boleh bayar denda RM1,000 dalam masa dua minggu.

“Saya percaya anggapan rakyat kita seperti mendapat saman kereta. Sesetengahnya itu tidak membayar sampai bila-bila dan tunggu waran tangkap dan akhirnya tiada apa-apa berlaku.

“Kita telah bersetuju, mulai esok pihak polis tidak memfokuskan kepada pemberian kompaun sebaliknya sesiapa yang ditahan akan direman atau dihadapkan di mahkamah. Biar mahkamah memutuskan,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju bahawa pematuhan rakyat belum mencapai tahap disasarkan kerajaan.

Ujarnya, ini berkemungkinan atas sikap alpa atau sengaja mereka untuk terus keluar seperti biasa sehingga melanggar arahan PKP.

“Berdasarkan Seksyen 24 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, pesalah boleh dihukum penjara dua tahun dan bagi kesalahan kedua boleh dipenjara sehingga lima tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan seramai 1,374 individu ditahan dengan 931 daripadanya dikenakan kompaun selain 427 individu dituduh di mahkamah semalam.

“Jumlah tangkapan keseluruhan sehingga semalam adalah seramai 9,090 dan kompaun telah dikeluarkan sebanyak 4,036,”jelasnya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )