Tiada bukti saintifik pesakit pulih Covid-19 ‘kebal’ jangkitan kedua -Noor Hisham Abdullah

Tiada bukti saintifik pesakit pulih Covid-19 ‘kebal’ jangkitan kedua -Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA,. Tiada bukti kukuh daripada kajian saintifik menunjukkan orang yang pulih Covid-19 dan mempunyai antibodi adalah terlindung daripada jangkitan kedua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, atas sebab itu orang ramai terus dinasihatkan agar terus mengambil langkah pencegahan serta mempraktikkan norma baharu yang disarankan.

“Elakkan keluar dari rumah kecuali untuk urusan yang penting serta mengamalkan jarak sosial selamat sekurang- kurangnya satu meter daripada orang lain.

“Selain itu, amalkan tahap kebersihan yang optimum pada setiap masa, seperti kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau ‘hand sanitizer’.

“Digalakkan memakai topeng muka (face mask) di tempat awam atau kawasan orang ramai berkumpul,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, penggunaan Rapit Test Kit (RTK) atau kit ujian pantas tidak disarankan sebagai ujian pengesahan Covid-19.

“Seperti yang sering Kementerian Kesihatan tekankan, ujian bagi mengesan virus Covid-19 adalah ujian
berasaskan antigen iaitu melalui ujian Real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RRT-PCR)
ataupun ujian RTK Antigen.

“Kedua-dua ujian itu memerlukan pengambilan Nasopharyngeal (NPS) Swab oleh anggota terlatih dengan
menggunakan alat pelindung diri (PPE) bersesuaian serta kelengkapan makmal seperti Biological Safety Cabinet
(BSC) ketika memproses sampel yang sudah diambil,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, ujian serologi RTK Antibodi yang menggunakan sampel darah dari hujung jari tidak boleh digunakan sebagai ujian pengesahan kerana kehadiran antibodi tidak dapat mengesahkan jangkitan semasa.

“Keputusan antibodi negatif pula tidak menjamin individu yang diuji itu tidak dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun, ujian RTK Antibodi boleh digunakan bagi tujuan pelaksanaan kajian prevalen jangkitan Covid-19 dalam masyarakat atau kumpulan sasar seperti kumpulan pekerja).

“Ini selari dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mana, RTK antibodi boleh digunakan dalam
aktiviti survelan dan kajian epidemiologi,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )