Tiada bukti kukuh sokong dakwaan air berkarbonat boleh diuji positif COVID-19 – MDA
PUTRAJAYA,. Tiada bukti kukuh bagi menyokong dakwaan bahawa air berkarbonat boleh diuji positif COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri penyakit itu, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) P. Muralitharan.
Beliau berkata cecair selain sampel yang disebutkan dalam arahan penggunaan kit ujian kendiri COVID-19 mempunyai sifat kimia yang boleh menyebabkan tindak balas kimia pada jalur ujian dan mengakibatkan keputusan tidak tepat, tidak sah serta mengelirukan.
“Menggunakan minuman berkarbonat sebagai sampel untuk pengujian COVID-19 bukanlah kaedah saintifik yang sah atau boleh dipercayai.
“Ini kerana, minuman berkarbonat mengandungi pelbagai sebatian dan bahan, tetapi ia tidak mengandungi komponen virus atau bahan genetik tertentu yang direka bentuk untuk dikesan oleh kit ujian ini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, pemilik akaun media sosial X, @meinmokhtar telah membuat ciapan mengenai dakwaan terbabit, namun ciapan berkenaan telah dipadam.
Muralitharan berkata semua kit ujian kendiri COVID-19 hanya menggunakan sampel air liur atau calitan hidung dan tekak sahaja, bukannya menggunakan sampel air, sebarang makanan atau cecair lain.
“Jika kit ujian kendiri digunakan dengan betul, ia mampu membantu kita mengesan COVID-19 dan mengekang penularan wabak ini,” katanya.
Beliau berkata kaedah ujian yang disahkan dan mengikut panduan profesional penjagaan kesihatan serta pihak berkuasa kesihatan awam amat penting apabila melibatkan ujian COVID-19.
“Sebarang penyebaran maklumat yang salah dengan menyalahgunakan peranti perubatan yang disengajakan semasa penularan COVID-19 adalah tidak bertanggungjawab dan membahayakan kesihatan awam,” katanya.
— BERNAMA