Teruskan Bazar Ramadan atau tidak, perlu ikut garis panduan MKN, KKM

Teruskan Bazar Ramadan atau tidak, perlu ikut garis panduan MKN, KKM

PUTRAJAYA,. Kementerian Wilayah Persekutuan akan memastikan setiap keputusan yang hendak dibuat termasuk operasi Bazar Ramadan perlu mengikuti garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, sekarang pengurusan menangani wabak seperti Covid-19 adalah di bawah MKN sebagai pihak berkuasa yang perlu didengari termasuk KKM.

“Tidak ada satu keputusan yang harus dibuat pihak berkuasa tempatan tanpa merujuk dan mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa iaitu MKN dan KKM.

“Jadi kita nak bincang Bazar Ramadan dalam konteks Covid-19, wajib kita mengambil kira garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) agensi berkenaan, itulah statusnya,” kata beliau dalam sidang akhbar secara live di laman Facebooknya hari ini.

Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP berkata, pihaknya akan mendengar terlebih dahulu daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan berkaitan Bazar Ramadan pada Jumaat ini.

“Kemudian saya akan berikan pandangan. Cara saya bukan buat keputusan mengarah tanpa ambil kira pandangan daripada pentadbiran dan pengurusan. Tugas menteri adalah memandu arah dan tidak memerintah sewenang-wenangnya,” tegasnya.

Beliau berkata, kementeriannya tidak akan membuat keputusan tanpa mengambil kira garis panduan yang ditetapkan KKM dan MKN.

“Saya setiap hari bersama dengan Ketua Pengarah Kesihatan kerana saya adalah anggota Mesyuarat Harian Peringkat Menteri tentang Covid-19. Sudah tentu perkara ini saya kena ambil kira pandangan dan garis panduan KKM dan MKN. Itulah fakta sebenarnya tidak perlu pusing sana-sini,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan, dengan mengambil senario pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat pada 14 April nanti, kerajaan turut perlu menyemak kembali cara pengurusan program.

“Walaupun tidak ada PKP, bukan bermakna kita boleh buat Bazar Ramadan macam biasa, adakan perhimpunan atau pesta yang kita rasa bercanggah dengan kepentingan hendak jaga kesihatan awam.

“Sebab itu saya katakan sementara iktiraf orang puasa nak makan dan orang nak berniaga kalau tidak ada sekatan, kalaupun sudah tidak ada PKB kita mesti lihat semula kepada cara yang kita buat,” katanya.

Dalam hal ini, beliau menjelaskan, kerajaan akan mengambil kira garis panduan KKM seperti tidak boleh diadakan Bazar Ramadan di tempat yang terlalu sesak dan mesti ada amalan penjarakan sosial serta ada kawalan.

“Kita ada masa untuk duduk merancang dan memastikan kepentingan nyawa rakyat, jaga kesihatan dan mengelakkan wabak menular, ini akan diteruskan hatta pasca PKP yang kita tidak tahu bila (wabak) akan berakhir,” katanya. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )