Terowong nyah kuman tidak digalakkan, bahan kimia boleh beri mudarat
PUTRAJAYA,. Beberapa peralatan seperti ‘disinfection box’, ‘chamber’, ‘tunnel’, ‘booth’, ‘partition’ atau ‘gate’ sebagai langkah untuk menghindari jangkitan Covid-19 terhadap manusia tidak digalakkan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penilaian telah dilakukan Cawangan Penilaian Teknologi Kesihatan berikutan terdapat permohonan yang diterima berkenaan peralatan tersebut.
Hasil penilaian yang dilakukan mendapati tiada bukti menunjukkan bahawa peralatan tersebut berkesan dalam mengurangkan jangkitan Covid-19.
“Jangka masa 20 sehingga 30 saat tidak memadai untuk proses nyah kuman yang berkesan. Prosesnya juga tidak boleh membunuh kuman di dalam badan manusia.
“Malah bahan kimia yang digunakan boleh membawa kemudaratan kepada selaput badan atau membrane mucosa seperti pada mata dan mulut. Oleh itu, kita tidak menyarankan peralatan itu digunakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – WILAYAHKU