
Terlalu awal bincang sama ada Najib hilang kelayakan – Pakar Perlembagaan
PUTRAJAYA,. Masih terlalu awal untuk membincangkan sama ada Datuk Seri Najib Razak akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz.
Katanya, ia berikutan bekas Perdana Menteri itu masih berpeluang untuk membuat rayuan hingga ke peringkat Lembaga Pengampunan, selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan serta pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
“Jika merayu, maka beliau tidak dikira secara automatik hilang kelayakan sehinggalah perkara itu diputuskan dalam mahkamah tertinggi atau Lembaga Pengampunan.
“Ini baru peringkat pertama dan saya percaya sudah tentu beliau akan mengemukakan rayuan. Jika rayuan dikemukakan, ia perlu dirujuk kepada Perkara 48 Fasal 3 (Perlembagaan Persekutuan). Selepas seluruh proses ini dijalani dan beliau masih didapati bersalah, baru boleh kita kata hilang kelayakan,” katanya kepada BH.
Penganalisis politik, Prof Datuk Dr Nasrudin Mohammed, serta peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin, pula berpendapat Najib tidak berpeluang untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Pekan jika pilihan raya umum (PRU) diadakan dalam masa terdekat, selepas sabitan dan hukuman dikenakan terhadap beliau.
Nasrudin yang juga Profesor di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), berpandangan peluang untuk Najib bertanding semula tertutup jika PRU diadakan sebelum tamat proses rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu.
Pada masa sama, beliau berkata, untuk Najib mengosongkan kerusi disandang, semua prosedur rayuan yang bakal dilaksanakan perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Jika PRU diadakan awal, adakah Muafakat Nasional (MN) atau UMNO sanggup mengambil risiko untuk mencalonkan Najib? Pada pandangan saya, memang hampir tertutup peluangnya untuk bertanding dan UMNO sudah bersedia (berdepan PRU-15) tanpa kelibat Najib.
“Mereka akan meneruskan agenda PRU-15 walaupun tanpa Najib, pada bila-bila masa. Tidak timbul isu kerana tiada yang perlu dibimbangkan berikutan Najib bukan lagi beban sejak Barisan Nasional (BN) tumbang, manakala Presiden akan meneruskan perjuangan UMNO walau apa pun hasil pengadilan kelak,” katanya.
Bagi Salehuddin pula, peruntukan dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan memaklumkan bahawa seseorang wakil rakyat yang dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.
Namun, beliau berkata, individu itu juga tertakluk kepada Peruntukan 4 bagi Perkara 48 yang menetapkan seseorang itu hanya hilang kelayakan apabila semua proses rayuan, termasuk petisyen pengampunan yang difailkan selesai dan tidak memihak kepadanya.
“Lain pula jika beliau ingin bertanding (sekiranya PRU-15 diadakan dalam masa terdekat). Apabila disabitkan dan ketika proses rayuan berjalan, Parlimen dibubarkan, beliau tidak boleh dicalonkan seperti Fasal 4 dan 5 bagi Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.