
Terapi berkuda bantu anak autisme lebih tenang selepas jalani terapi
KUALA LUMPUR,. Minat Sharifah Noorfaslina Syed Md Kamal dalam sukan berkuda timbul pada 2017 selepas membawa anak autismenya, Harith Danial Heazar Ismail mendapatkan rawatan pemulihan dengan menunggang kuda.
Anak sulungnya berusia 14 tahun itu menunjukkan perkembangan yang cukup positif selepas menjalani beberapa sesi menunggang kuda di Kelab Equestrian Cape Cavallho di Rembau, Negeri Sembilan.
“Kali pertama selepas menjalani terapi kuda, anak saya boleh bertutur dalam satu ayat pendek yang lengkap berbanding sebelum ini hanya menyebut satu atau dua patah perkataan.
“Malah, anak saya lebih tenang setiap kali selepas sesi terapi kerana dia adalah seorang hyperaktif yang mampu membahayakan diri,” kata ibu berusia 38 tahun itu kepada Bernama, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, katanya, sikap anaknya juga berubah apabila menjadi lebih peka terhadap persekitaran selain cuba berinteraksi dengan orang lain.
“Biasanya, kanak kanak autisme ini akan leka dengan dunianya sendiri tetapi apa yang saya perasan Harith Danial boleh fokus macam kanak-kanak biasa.
“Jadi, masa inilah saya ambil peluang untuk mengajarnya sesuatu yang baharu terutamanya dalam bidang akademik seperti menyuruhnya buat kerja sekolah dan dia dapat selesaikan tugas tanpa sebarang tantrum,” katanya.
Gembira dengan perubahan itu, Sharifah Noorfaslina, yang juga seorang ahli farmasi, mengambil peluang untuk bergerak lebih serius dalam bidang itu dengan menyertai beberapa pertandingan sukan kuda lasak.
Tambahan pula, katanya, bidang sukan ekuestrian turut menyediakan kategori khas buat insan istimewa iaitu Olimpik khas bagi acara Showjumping atau Dressage.
“Saya dan Harith Danial berguru dengan jurulatih Muhammad Zufikar, untuk menyertai pertandingan acara ini. Saya juga meletakkan sepenuh harapan supaya Harith Danial dapat menyertai kategori showjumping seperti individu normal yang lain, kerana saya yakin dengan kebolehan dan tunjuk ajar jurulatih,” katanya.
Bukan itu sahaja, Sharifah Noorfaslina turut menyertai beberapa pertandingan sukan kuda lasak secara solo sehingga dianugerahkan kelayakan 1 star Federation Equestre Internationale (FEI) International Endurance Rider iaitu ‘tiket’ untuknya menyertai pertan-dingan di luar negara.
Sepanjang keterlibatannya dalam sukan lasak itu, wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini mengakui melalui beberapa pengalaman pahit yang tidak boleh dilupakan.
“Antaranya adalah kejadian tulang tibia saya patah akibat kaki kiri ditendang oleh seekor kuda jantan selain pernah cedera di Ligament ACJ dan bahu kiri saya putus (tahap 5), ketika sedang membuat latihan persediaan.
“Namun, kejadian yang tidak diingini itu tidak sese-kali membuat saya serik dan patah semangat. Saya percaya dengan pepatah Inggeris yang mengatakan ‘Fall down seven times, stand up eight’,” katanya.
Menurutnya, adalah menjadi harapannya untuk membuka akademi berkuda percuma bagi kanak kanak istimewa, suatu hari nanti.
“Akademi itu nanti bukan hanya setakat untuk terapi tetapi juga melatih mereka untuk bertanding bersama individu normal yang lain,” akhirinya.
— Bernama