Tengku Zafrul ikrar pastikan Malaysia terus kompetitif, jadi destinasi pelaburan penting

Tengku Zafrul ikrar pastikan Malaysia terus kompetitif, jadi destinasi pelaburan penting

KUALA LUMPUR,. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berikrar memastikan Malaysia terus menjadi destinasi penting dalam pelaburan selain menjadikan negara ini berdaya saing bagi pelabur.

“Saya percaya tugas ini telah menjadi tugas besar, namun pada masa hadapan, kita perlu memastikan Malaysia terus meraih momentum bagi memastikan kita menarik pelaburan utama, terutamanya dalam bidang yang memberikan nilai kepada negara,” katanya kepada pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu buat kali pertama sebagai menteri pada 6.07 petang di Menara MITI hari ini.

Terdahulu, beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara bersama-sama dua Timbalan Perdana Menteri dan 24 menteri Kabinet di Istana Negara.

Tengku Zafrul berkata Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka telah mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh selama empat suku.

“Dengan berkembang pada masa hadapan, kita perlu memastikan bahawa momentum ini berlanjutan dan saya berharap peranan saya di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dengan sokongan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), barisan Kabinet dan rakan sekerja, kita dapat memastikan Malaysia mampu mengharungi 2023 dengan baik,” katanya.

Mengenai gesaan sesetengah pihak agar mengkaji semula pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Tengku Zafrul berkata beliau akan mengadakan perbincangan di peringkat Kabinet sebaik sahaja menerima taklimat daripada pegawai kementerian.

“Saya masih belum dapat taklimat secara menyeluruh. Masih awal untuk saya komen,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bekas menteri MITI Tan Sri Rafidah Aziz berhubung pelantikannya, Tengku Zafrul berkata pelantikan itu adalah prerogratif perdana menteri, justeru, tumpuan terarah kepada memastikan peranan beliau sebagai menteri MITI untuk membantu negara.

Bekas menteri kewangan itu dilantik sebagai Menteri MITI di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri ketiga yang menamakan beliau dalam barisan Kabinet selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )