Tengku Permaisuri Selangor berkenan rasmi taman kucing Catopia Shah Alam

Tengku Permaisuri Selangor berkenan rasmi taman kucing Catopia Shah Alam

SHAH ALAM,. Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Taman Kucing Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini hari ini.

Baginda juga berkenan melancarkan Ikon Oyen sebagai maskot rasmi bagi taman dinamakan Catopia Shah Alam itu, antara lain sebagai simbol pemerkasaan program kesedaran awam terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk melihat gelagat kucing di Taman Kucing Shah Alam (Catopia Shah Alam) sempena majlis perasmian taman berkenaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 hari ini. – Gambar BERNAMA

Tengku Permaisuri Norashikin turut meluangkan masa melawat sekitar taman itu dan bermain dengan haiwan berkenaan yang dibuka kepada orang ramai bermula Julai 2024.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata Catopia Shah Alam merupakan platform MBSA untuk mendidik dan memberikan pendedahan meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan selain membantu menyemarakkan lagi industri pelancongan di Selangor.

Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat melihat kucing-kucing di Catopia Shah Alam sempena majlis perasmian taman berkenaan di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 hari ini. – Gambar BERNAMA

“Dengan konsep kawasan permainan luar bagi kucing peliharaan, taman mini Catopia Shah Alam dilengkapi 12 elemen menarik termasuk tempat perlindungan dan makanan kucing, jambatan gantung, terowong, rumput ‘helikopter’ (rumput kegemaran kucing), kolam pancuran air dan 10 alat permainan kucing.

“Sejak dibuka pada Julai tahun lepas, Catopia Shah Alam telah dikunjungi lebih 1,500 pengunjung dan hingga kini tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung dari dalam mahupun luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran.

Gelagat kucing semasa bermain di Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 hari ini. – Gambar BERNAMA

Mohd Fauzi berkata walaupun baru beroperasi selama lapan bulan, Catopia Shah Alam telah merangkul anugerah Special Mention bagi kategori Placemaking and Public Space Award diikuti Anugerah Emas bagi kategori Best Planning Content in Media Award dalam Majlis Anugerah MIP Planning Excellence Award 2024 baru-baru ini.

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )