Techfest2020, Road To WCIT Malaysia dijangka tarik 4,000 peserta – PIKOM

Techfest2020, Road To WCIT Malaysia dijangka tarik 4,000 peserta – PIKOM

KUALA LUMPUR,. Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) menjangkakan acara “TECHFEST2020” dan “Road to World Congress on Information Technology (WCIT) Malaysia” akan menarik sebanyak 4,000 peserta dari 80 negara.

Ia akan berlangsung dari 18 hingga 20 November, 2020 di Pulau Pinang, acara tersebut dijangka dapat membina momentum terhadap Kongres Dunia Teknologi Maklumat (WCIT) Malaysia yang ditunda ke tahun 2022.

Keputusan untuk mengubah tarikh acara itu dibuat setelah meneliti secara menyeluruh fasa pemulihan pasca-COVID-19, kata PIKOM dalam satu kenyataan hari ini.

“Acara WCIT Malaysia tidak akan dapat diadakan tahun ini, memandangkan kita masih dalam fasa pemulihan.

“Namun, kami akan mula membuat promosi mengenainya pada November ini menerusi siaran langsung TECHFEST2020 dan Road To WCIT Malaysia, dengan menjemput secara eksklusif pembuat keputusan daripada sektor teknologi dan inovasi,” kata Pengerusinya, Danny Lee.

TechFest2020 akan menjadi festival digital, menampilkan pengalaman realiti maya dan program interaktif.

“Ia akan menampilkan pandangan daripada para pemimpin industri, mempamerkan teknologi dan inovasi baharu, berkongsi cerita berinspirasi dan dokumentari dari seluruh dunia,” kata Lee.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )